Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Standard Chartered Securities (SCS), anak syarikat Bank Standard Chartered (StanChart), telah menambah empat unit dana amanah baharu dengan rakan kongsi terbaharunya, Principal Islamic.
Dana-dana amanah baharu yang menawarkan rangkaian luas dana seimbang dan patuh syariah tersebut ialah Global Sukuk Fund, Islamic ASEAN Equity Fund, Islamic Asia Pacific Dynamic Income & Growth Fund, dan Islamic Global Multi-Asset Fund.
Ia telah dilancarkan pada acara yang diadakan di Tarindak D’Seni di ibu negara, hari ini, di mana wakil dari Principal Islamic hadir untuk berkongsi pandangan mereka mengenai trend pasaran semasa dan kelas aset menerusi perbincangan panel.
Dalam ucapan alu-aluannya pada majlis yang dihadiri lebih 100 orang tetamu itu, Ketua Pegawai Eksekutif SCS, Brenda Low berkata bahawa sejak melancarkan tawaran pelaburan Islam melalui tingkap Islam pertama pada April tahun lepas, mereka kini mempunyai rangkaian dana konvensional dan patuh syariah terluas yang terdapat di
pasaran.
“Dengan lebih daripada 70 dana yang ditawarkan melalui 11 rakan kongsi dana, kami dengan yakin boleh mengatakan bahawa ada sesuatu untuk semua orang. Kami percaya bahawa setiap orang mempunyai objektif dan kepercayaan yang unik apabila melibatkan pelaburan,” ujarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Principal Islamic, Dato’ Paduka Syed Mashafuddin pula berkata, “Dana patuh Syariah telah semakin popular sejak beberapa tahun dan telah mendapat minat daripada pelanggan Islam dan bukan Islam kerana ia agak konsisten dan pulangan yang stabil.
“Ini adalah salah satu daripada banyak sebab mengapa Prinsipal berusaha untuk meningkatkan penawaran produk dan perkhidmatan kami sebagai sebahagian daripada memastikan pelanggan boleh terus membina portfolio pelaburan mereka dengan yakin,” ujarnya.