Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    SDGs mainkan peranan penting dalam kerjasama global

    Oleh Sim Y. H.

    Dalam usaha untuk mencapai 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) yang digariskan oleh Agenda Pembangunan Mampan 2030 yang dipersetujui oleh kesemua negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2015, ia harus ditangani bersama-sama kerana setiap SDGs adalah berkaitan di antara satu sama lain.

    SDGs merupakan seruan untuk bertindak oleh semua negara baik yang maju dan yang sedang membangun, dalam kerjasama global dalam usaha untuk menghapuskan kemiskinan dan lain-lain kekurangan yang harus dilaksanakan bersama dengan strategi untuk memperbaiki kesihatan dan pendidikan, mengurangkan ketidaksaksamaan serta menjana pertumbuhan ekonomi sambil menangani perubahan iklim dan bekerjasama untuk memulihara hutan dan lautan.

    “Perkara penting yang perlu diingat ialah kebanyakan SDGs berkenaan adalah saling berkaitan dan kita boleh mencapai SDGs itu secara berasingan,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles JPMC Sdn Bhd, Dr Peter Tay dalam ucaptama bertajuk, Good Health and Well-being, semasa Perasmian Persidangan Isu-isu Global Borneo Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB BGIC) ke-18 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa baru-baru ini.

    Dalam ucaptamanya, beliau memberikan penerangan mengenai SDG3 dan sasaran yang ingin dicapai. Antara matlamat ingin dicapai iaitu mengurangkan nisbah kematian ibu global, menamatkan kematian anak damit yang baharu lahir dan kanak-kanak, menamatkan epidemik AIDS, tuberkulosis, malaria dan penyakit-penyakit berjangkit yang lain,

    Selain itu, matlamat lain ialah untuk mengurangkan kematian daripada penyakit-penyakit tidak berjangkit, mengukuhkan pencegahan dan rawatan penyalahgunaan bahan, mengurangkan separuh jumlah kematian dan kecederaan daripada kemalangan jalan raya, memastikan akses universal kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan seksual dan reproduktif, mencapai liputan kesihatan universal serta mengurangkan jumlah kematian dan penyakit daripada pencemaran dan kimia berbahaya.

    Dr Peter Tay ketika menyampaikan ucaptama semasa perasmian ISB BGIC ke-18 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa baru-baru ini. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Dr Peter Tay turut menyatakan kita perlu berusaha bukan sahaja untuk menangani penyakit tetapi mencapai masyarakat sihat serta perlu bekerjasama sebagai sebuah komuniti antarabangsa untuk mencapai SDGs.
    Memperbaiki pendidikan dan kesihatan merupakan antara tindakan untuk menghapuskan kemiskinan dan lain-lain kekurangan.

    Bagi mencapai matlamat itu, Dr Perter Tay mengongsikan empat kaedah pelaksanaan telah dirumuskan iaitu mengukuhkan pelaksanaan Konvensyen Rangka kerja Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi kawalan tembakau, menyokong penyelidikan dan pembangunan vaksin bagi penyakit-penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, menyediakan akses kepada vaksin dan ubat-ubatan yang mampu dimiliki, meningkatkan pembiayaan kesihatan dan pengambilan, pembangunan, latihan dan pengekalan tenaga kerja kesihatan khususnya di negara-negara membangun serta kesiapsiagaan pandemik dengan mengukuhkan kapasiti semua negara khususnya negara-negara membangun bagi amaran awal, pengurangan risiko dan pengurusan risiko kesihatan global dan kebangsaan.

    Dr Peter Tay berkata dalam mencapai matlamat SDG3 menjelang 2030, beberapa perkembangan positif telah dicapai dan terdapat juga jurang yang besar di antara negara dalam mencapai matlamat berkenaan.

    Tambahnya menurut Oslo Governance Centre, kita telah mencapai perkembangan yang amat baik menentang beberapa penyebab kematian utama dan penyakit di mana perkembangan positif itu dapat disaksikan melalui jangka hayat meningkat, kadar kematian anak damit dan ibu yang menurun dan kematian disebabkan oleh HIV dan malaria dikurangkan separuh.

    Namun begitu, dunia masih tersasar daripada mencapai SDGs berkaitan kesihatan disebabkan oleh perkembangan yang tidak seimbang dalam bidang kesihatan di mana kita menyaksikan terdapat jurang 31 tahun di antara negara-negara yang mempunyai jangka hayat terpendek dan terpanjang.

    Di samping itu, kita juga berdepan dengan pelbagai cabaran ke arah mencapai SDG3 iaitu antaranya, ketidaksamaan liputan penjagaan kesihatan, pengurangan pembiayaan dan pengaruh korporat yang semakin bertambah dengan cabaran-cabaran berkenaan diburukkan lagi oleh ketegangan geopolitik dan meningkatkan berita-berita palsu yang dipermudahkan penyebarannya melalui media sosial.

    Dalam ucaptama itu, Dr Peter Tay turut menekankan mengenai pentingnya bagi kita untuk menangani dan mencegah penyakit-penyakit tidak berjangkit dengan tidak merokok atau menggunakan produk-produk tembakau, memberikan perhatian kepada diet, mengurangkan pengambilan gula, minuman manis, karbohidrat dan makanan diproses, meningkatkan tahap aktiviti fizikal serta menghindarkan alkohol.

    Sebagai kesimpulannya, Dr Peter Tay berkata kesemua 17 SDGs adalah saling berkaitan dan mereka perlu ditangani bersama.

    Kita perlu untuk menangani penentu teras kesihatan dan kesejahteraan termasuk penentu sosioekonomi seperti pendidikan, pendapatan dan jantina serta melabur dalam penjagaan kesihatan harus dijadikan satu keutamaan di mana pembiayaan yang mencukupi dijamin jika kita ingin untuk membuat impak jangka panjang.

    Beliau turut menyatakan bahawa kita perlu berusaha bukan sahaja untuk menangani penyakit tetapi mencapai masyarakat sihat untuk semua serta kita perlu bekerjasama sebagai sebuah komuniti antarabangsa untuk mencapai SDGs.

    “Setiap seorang daripada kita mempunyai peranan untuk dimainkan dalam ini, baik sebagai individu dan sebagai seorang warga global.”

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...