TAWAU, 12 Mei – Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) akan terus memberi manfaat pendidikan kepada pelajar yang memiliki masalah kesihatan berpanjangan di hospital dan mengelak keciciran pelajaran, kata Timbalan Menteri Pendidikan tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching.
Mary Yap yang juga Anggota Parlimen Tawau berkata program di bawah Kementerian Pendidikan itu merupakan antara usaha kerajaan memastikan tiada pelajar tercicir pelajaran hanya ekoran faktor kesihatan.
“Guru-guru khas terlatih ditempatkan di SDH untuk mengajar pelajar dengan kaedah serta pelbagai aktiviti menarik, “katanya kepada pemberita selepas melawat SDH di hospital Tawau di sini, hari ini.
SDH Tawau yang ditubuhkan pada tahun 2015 kini menempatkan enam guru serta dua pembantu pengurusan murid dan ketika ini mempunyai lapan pelajar berusia enam hingga 14 tahun.
Dalam pada itu Mary Yap berkata program SDH boleh diperluaskan ke hospital-hospital lain di Sabah ekoran sambutan positif ibu bapa yang melihat perkembangan anak mereka meskipun tidak sihat tetapi mampu mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. – Bernama