Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Dalam sama-sama menyokong inisiatif pembelajaran dalam talian khusus bagi pelajar-pelajar yang memerlukan di negara ini, warga Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH telah menyalurkan sumbangan berupa kad SIM dan data tambahan bagi Progresif Cellular Sdn Bhd dan DST Sdn Bhd kepada 100 orang pelajar, baru-baru ini.
Para pelajar berkenaan adalah dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan institusi-institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan SEAMEO VOCTECH, sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, Awang Alias bin Haji Abu Bakar kepada Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Awang Mohammad Norilham bin Haji Jais selaku wakil Kementerian Pendidikan dan Pengetua ITQSHHB, Pengiran Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, di mana masing-masing bertempat di Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Lambak Kanan dan di bangunan ITQSHHB.
Kenyataan menyatakan, sumbangan berkenaan merupakan salah satu program bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Penubuhan Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH ke-31 sekali gus sebagai salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada warga pusat tersebut. Dengan adanya sumbangan berkenaan, ia diharap dapat membantu perlaksanaan pembelajaran dalam talian dengan lebih baik lagi khususnya bagi golongan pelajar yang memerlukan dan juga sebagai salah satu usaha berganding bahu bersama pihak kerajaan dalam sama-sama menangani impak gelombang kedua penularan wabak COVID-19 di negara ini.