Seameo Voctech kembangkan latihan online

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 SEPT – Pusat Serantau Seameo Voctech, hari ini, telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Labtech International Ltd bagi kerjasama dalam sumber pembelajaran digital TVET.

Majlis penandatanganan berkenaan telah diadakan secara dalam talian di Pusat Serantau Seameo Voctech, Gadong dengan dihadiri oleh Presiden dan Pengasas, Labtech International Ltd, Dr Steven McKee; Eksekutif Pembangunan Perniagaan dan Program Digital, Labtech International Ltd, Brad Ker, wakil dari Labtech International Ltd dan pengurusan Seameo Voctech serta kakitangan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, MoA berkenaan adalah salah satu inisiatif
Seameo Voctech ke arah kemajuan pengembangan latihan dalam talian sebagai penyelesaian latihan alternatif semasa pandemik COVID-19.

Dengan adanya memorandum berkenaan, Seameo Voctech akan dapat meningkatkan kemahiran pedagogi, teknikal dan dapat menawarkan program latihan dalam talian yang berkesan dan cenderung kepada kesediaan IR 4.0 dengan kerjasama rakan latihan dalam talian antarabangsa seperti Labtech International Ltd.

Antara bidang utama dalam memorandum tersebut adalah kolaborasi dalam menyediakan kursus dalam talian TVET untuk pengembangan profesional berterusan, khidmat nasihat mengenai pendidikan guru teknikal serta bersama-sama menjalankan inisiatif penyelidikan dan pembangunan.

Kerjasama seumpamanya adalah sebahagian daripada usaha berterusan Seameo Voctech dalam memenuhi misinya meningkatkan keupayaan dan pembangunan pendidikan vokasional dan teknikal yang berterusan di rantau Asia Tenggara.

Wakil-wakil Pusat Serantau Seameo Voctech dan Labtech International Ltd yang hadir semasa majlis penandatanganan MoA secara dalam talian berkenaan, kelmarin. – Gambar serahan Pusat Serantau Seameo Voctech