SEAMEO VOCTECH kendali latihan untuk institusi Filipina

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Seramai 27 orang peserta Don Bosco One-TVET, Filipina, menyertai program latihan mengenai pengurusan strategik anjuran Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, yang diadakan secara maya bermula hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan SEAMEO VOCTECH, program selama lima hari itu bertujuan untuk melengkapkan para peserta dengan pengetahuan dan kemahiran betul dalam pengurusan strategik yang akan berfungsi sebagai salah satu instrumen pengurusan dan pentadbiran dalam operasi seharian mereka untuk memastikan institusi masing-masing mencapai prestasi, produktiviti dan kelestarian yang tinggi.

Pengarah Pusat SEAMEO VOCTECH, Awang Alias bin Haji Abu Bakar dalam ucapannya pada majlis perasmian secara maya, mengucapkan terima kasih kepada Don Bosco One-TVET kerana mempercayai Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH Brunei untuk sekali lagi menjalankan program latihan mengenai peningkatan kapasiti dan pengembangan profesional bagi pengurusan dan tenaga pengajarnya.

Beliau turut mengongsikan bahawa sejak 2017, lapan program latihan yang disesuai-kan telah berjaya dijalankan dengan jumlah peserta seramai 303 orang.

Turut hadir dalam majlis pembukaan secara dalam talian itu ialah Pengarah Eksekutif Don Bosco One-TVET Filipina, Dr Fr Jose Dindo S Vitug, SDB; Timbalan Pengarah Pentadbiran SEAMEO VOCTECH, Pengiran Haji Mohd Sufri Pengiran Ali; Timbalan Pengarah SEAMEO VOCTECH untuk Hal Ehwal Profesional, Dr Paryono dan Pakar Pengurusan dan Fasilitator program latihan berkenaan, Dr Jaya Priah Kasinathan serta pihak pengurusan dan kakitangan
SEAMEO VOCTECH.

Awang Alias ketika menghadiri majlis pembukaan program latihan secara dalam talian berkenaan. – Gambar serahan Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH