Thursday, October 10, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sean ‘Diddy’ Combs ditahan di Manhattan

    Penyanyi rap, Sean ‘Diddy’ Combs, 54, ditahan di sebuah hotel di Manhattan, di sini, atas tuduhan pemerdagangan seks dan penderaan oleh pasukan FBI, semalam.

    Menurut laporan Berita Harian, peguamnya, Marc Agnifilo berkata kepada AFP, Combs berpindah ke New York sejak minggu lalu berikutan sudah menjangkakan bakal berdepan pertuduhan itu, namun butiran kes tidak jelas pada masa ini.

    The New York Times melaporkan tahanan dibuat susulan pendakwaan juri utama.

    Penyanyi rap itu menjadi sasaran selepas beberapa tindakan undang-undang sivil dibuat ke atasnya dengan menyifatkan Combs sebagai individu yang mengamalkan seks ganas, menggunakan alkohol dan dadah untuk menundukkan mangsanya. Kemudian rumahnya diserbu oleh ejen persekutuan, tahun ini.

    Operasi menyerbu rumahnya secara besar-besaran pada Mac menunjukkan bahawa ada kemungkinan kes jenayah terhadap Combs semakin meningkat.

    Ejen bersenjata memasuki hartanah mewahnya di Miami dan Los Angeles itu juga menandakan kejatuhan bagi seorang figura muzik yang berpengaruh ini.

    Pasukan guamannya berkata, Combs memberikan kerjasama untuk membersihkan namanya di mahkamah, Isnin lalu.

    Penyanyi yang dikenali dengan jolokan seperti Puff Daddy dan P Diddy dikenali sebagai tokoh dalam industri muzik hip hop yang dulunya hanya pemuzik jalanan dan telah berjaya dalam perniagaan minuman selama berdekad.

    Namun, di sebalik usahanya untuk memperlihatkan imej seorang raja pesta dan ahli perniagaan, beberapa tindakan undang-undang diambil lantas menyifatkan Combs sebagai lelaki ganas dan menggunakan pengaruhnya untuk menarik wanita.

    Combs menafikan semua tuduhan terhadapnya. Combs juga dikatakan sudah lama dijejaki susulan dakwaan serangan fizikal dilakukan sejak 1990-an. – Agensi

    Sean ‘Diddy’ Combs, 54, ditahan di sebuah hotel di Manhattan atas tuduhan pemerdagangan seks dan penderaan oleh pasukan FBI, kelmarin. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda