Sean Lee tiada niat caras Alvin

Tiada istilah ‘merampas’, sebaliknya pelakon dan pengacara, Sean Lee, menyifatkan kepercayaan yang diberikan untuk terus mengemudi program I Can See Your Voice sebagai penghargaan terhadap bakatnya.

Sean yang menggalas tanggungjawab sebagai pengacara pada musim kedua program itu bersama Shuk Sahar berkata, dia hanya menjalankan tugas yang diamanahkan dengan baik, tanpa berniat untuk bersaing dengan sesiapa.

Justeru, katanya, dia kebingungan apabila segelintir pihak mendakwa, dia cuba ‘mencaras’ kedudukan Alvin Chong yang terlebih dahulu menggalas tanggungjawab itu pada musim pertama.

“Saya anggap tawaran diberikan sebagai rezeki dan tidak pernah berniat ‘merampas’ kedudukan pengacara lain. Produksi mungkin ada sebab tersendiri mengapa mereka menggantikan pengacara lain.

“Alvin juga mungkin mempunyai alasan mengapa tidak dapat meneruskan tugasnya dalam program itu. Lagipun, tawaran itu datang tepat pada masanya dan saya menerimanya sebagai cabaran baharu.

Sean bakal terus menggalas tanggungjawab sebagai pengacara program I Can See Your Voice musim ketiga. – Agensi

“Setiap pengacara mempunyai cara dan kekuatan tersendiri, jadi saya cuba mengendalikan program itu mengikut acuan serta kreativiti saya,” katanya memaklumkan, kembali diberi kepercayaan mengendalikan musim ketiga I Can See Your Voice, tahun depan.

Sean atau nama penuhnya Sean Lee Jia Ern, berkata peluang yang diberikan itu juga membuka ruang untuk dia terus memperbaiki mutu pengacaraan.

“Saya banyak belajar dengan Shuk, terutama bagaimana membentuk diri supaya lebih spontan kerana dia sangat kreatif dan sarat idea ketika di depan kamera,” katanya.

Selepas lima tahun dalam industri hiburan, Sean berbangga kemunculannya kini mula diakui peminat Melayu sejak drama lakonannya, Sweet Dreams dan Demi Rindumu mendapat sambutan hangat.

“Saya bermula dengan drama Melayu menerusi Keluarga Pontimau. Namun, nama saya hanya menyerlah apabila Sweet Dreams yang menggandingkan Mira Filzah dan Ben Amir mendapat sambutan peminat.

“Saya juga teruja apabila buat kali pertama diberi kepercayaan memegang watak lelaki Melayu bernama Haznik dalam Demi Rindumu bersama Janna Nick,” katanya.– Agensi