SEB peruntuk RM600,000 untuk pendidikan Bakun

KUCHING, 21 Jan – Sarawak Energy Berhad (SEB) menerusi Tabung Amanah Bakun hari ini memperuntukkan sejumlah RM-600,000 untuk dana pendidikan bagi komuniti penempatan semula Bakun, Murum dan Batang Ai.

Pengerusi SEB, Datuk Amar Hamed Sepawi berkata adalah menjadi tanggungjawab SEB untuk membantu masyarakat di Sarawak terutamanya di kawasan yang terjejas dengan projek-projek syarikat berkenaan.

“Dana itu merupakan inisiatif pendidikan bagi mengalakkan kecemerlangan akademik pelajar sekolah rendah dan menengah selain sebagai bantuan kewangan untuk anak-anak di komuniti tersebut untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

“Selain itu, dana itu juga digunakan untuk program pembangunan pendidikan bagi menambah baik fasiliti pembelajaran yang memanfaatkan komuniti Kayan, Kenyah, Kajang dan Penan di 15 rumah panjang di Skim Penempatan Semula Bakun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Dana Pendidikan Skim Penempatan Bakun di sini, hari ini.

Majlis penandatanganan MoU antara SEB dan Tabung Amanah Bakun itu disaksikan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. – Bernama

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen di antara Tan Sri Dr James Jemut Masing (kiri) dengan Sharbini Suhaili (kanan) pada majlis menandatangani MoU untuk Dana Pendidikan Skim Penempatan Bakun. – Bernama