KUALA LUMPUR, 24 JAN – Walaupun pengambilan dos penggalak kedua vaksin COVID-19 tidak diwajibkan namun orang ramai yang secara sukarela mengambilnya mempunyai alasan tersendiri untuk berbuat demikian.
Penghidap kanser limfoma Datin Fuzianna Ibrahim, 59, berkata beliau memilih untuk mendapatkan dos penggalak kedua kerana penyakit itu menjejaskan daya tahan imunnya sehingga mendedahkan beliau kepada risiko tinggi dijangkiti COVID-19.
“Bagi kes saya, memang (pengambilan dos penggalak kedua) sangat diperlukan sebab bukan hanya saya menghidap kanser tetapi saya juga telah melakukan pemindahan sum-sum tulang yang merendahkan lagi keimunan badan saya.
“Saya memang hendak (dapatkan dos penggalak kedua) kerana saya sedar saya ada komobiditi dan kadang-kala melakukan perjalanan, saya mahu rasa lebih terlindung… Jadi saya tanya doktor yang merawat kanser saya adakah boleh dan beliau amat mengesyorkannya,” kata beliau kepada Bernama.
Bekas ahli farmasi itu turut menyarankan agar penghidap kanser seperti beliau atau yang berisiko terdedah kepada jangkitan COVID-19 disebabkan faktor lain seperti sudah berusia untuk tidak takut mendapatkan dos penggalak kedua.
Bagi petugas media Anis Hazim Sharudin, 26, keputusan untuk melengkapkan pengambilan dos penggalak adalah bagi melindungi dirinya daripada bahaya COVID-19 dan sebagai langkah berjaga-jaga dengan mengambil kira kekerapan beliau ke luar negara.
“Saya sedar risiko jangkitan COVID-19 adalah lebih tinggi apabila berada di kawasan tertutup seperti dalam kapal terbang dan sebelum ini, saya pernah positif COVID-19 selepas pulang mengembara dari luar negara.
“Selain itu, bagi mengadaptasi dengan kehidupan dalam norma baharu terutama keperluan untuk hadir semula ke pejabat membuatkan saya ingin mengambil dos penggalak sebagai perlindungan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pencipta Kandungan Zainol Arif Zainal Bahrin, 25, yang bakal mendapatkan dos penggalak kedua esok pula berpendapat langkah itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosialnya untuk membendung penularan semula COVID-19 selain melindungi diri.
“Saya terpanggil untuk mengambil dos penggalak demi melindungi diri dan masyarakat, kita jaga kita… saya sangat menyarankan orang ramai agar turut mengambil suntikan dos penggalak di samping melindungi diri dan keluarga untuk mengelakkan penularan wabak seperti yang pernah terjadi sebelum ini,” katanya. – Bernama