Wednesday, November 6, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sebahagian besar jalan di Teton Pass runtuh

    JACKSON, 9 JUN – Sebahagian besar jalan yang berliku di kawasan pergunungan di Wyoming runtuh, kata pihak berkuasa kelmarin, meninggalkan jurang yang besar di lebuh raya tersebut dan memutuskan laluan penting yang sering digunakan oleh penduduk antara bandar-bandar kecil di timur Idaho dan destinasi pelancongan Jackson.

    Foto udara dan video dron mengenai runtuhan tersebut menunjukkan keretakan jalan di Teton Pass yang sangat dalam dan sebahagian besar permukaan jalan runtuh. Sebahagian pagar keselamatan tergantung di dalam jurang dan kon trafik berwarna jingga menandakan kawasan tersebut berbahaya. Jalan tersebut ditutup semasa kejadian runtuhan berlaku.

    Bahagian yang rosak itu pertama kali menarik perhatian pada Khamis apabila retakan dan penurunan di jalan menyebabkan kemalangan motosikal.

    Ahli geologi dan jurutera yang dihantar ke kawasan tersebut pada hari itu menyedari ‘bahawa retakan dan penurunan itu mula bergerak dengan pantas,” kata Stephanie Harsha, jurucakap Daerah Jabatan Pengangkutan Wyoming. Kru penurapan menampal sementara jalan tersebut dan jalan dapat dilalui semula pada malam itu.

    Namun, keadaan itu tidak bertahan lama apabila kru penyelenggaraan dihantar untuk menangani tanah runtuh beberapa batu jauhnya pada awal pagi Jumaat, menyebabkan jalan itu ditutup sekali lagi.

    Kru kemudian menyedari bahawa kerosakan pada permukaan jalan menjadi semakin ketara. Pekerja yang cuba mencari laluan alternatif sekitar kawasan tersebut meninggalkan tempat kejadian pada malam itu dan pada pukul 5 pagi, WYDOT mendapati bahawa jalan itu telah runtuh sepenuhnya,” kata Harsha. – AP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda