Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sebahagian Gerai malam, tamu ditutup sementara

    Oleh Salawati Haji Yahya

    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Dalam usaha mempertingkatkan lagi langkah-langkah membendung penularan COVID-19 di negara ini, beberapa buah gerai malam dan tamu akan ditutup buat sementara bermula esok (19 Mac).

    Di samping itu, premis makanan termasuk restoran, kedai makan, kedai minuman, kafe, medan selera, gerai makan dan seumpamanya juga tidak dibenarkan menyajikan makanan di premis berkenaan.

    Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong membuat pengumuman berkenaan pada sidang media di Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Yang Berhormat Pehin se-terusnya menambah, restoran, kedai makan, kedai minum, kafe, medan selera, gerai makan dan seumpamanya hanya dibenarkan untuk menyediakan makanan dibawa pulang sahaja bermula esok hingga satu masa yang akan diumumkan kemudian.

    “Gerai malam yang diadakan setiap malam di Tamu Aneka Temburong termasuk Tamu Besar Temburong yang diadakan pada setiap Sabtu dan Ahad akan ditutup buat sementara waktu berkuat kuasa 18 Mac sehingga ke satu masa yang akan dimaklumkan kemudian,” tambahnya.

    Manakala, Tamu Mingguan Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong yang beroperasi setiap Khamis dan Ahad juga akan ditutup bermula esok sehingga ke satu masa yang akan dimaklumkan kemudian.

    Sementara itu, semua pusat permainan boling juga ditutup bermula esok sehingga ke satu masa yang akan dimaklumkan kemudian. Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) melalui jabatan-jabatan daerah dan jabatan-jabatan bandaran memohon kerjasama pengusaha dan peniaga premis-premis perniagaan makanan dan orang ramai supaya mematuhi ketetapan yang dibuat oleh pihak kerajaan.

    Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Daerah Brunei dan Muara di talian 2381581 sambungan 302, Jabatan Daerah Belait di talian 3348046 atau 3348049 dan Jabatan Daerah Tutong di talian 4222491 sambungan 133 manakala Daerah Temburong di talian 5221266 sambungan 112. Manakala itu, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan boleh dihubungi di talian 2232324, Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria di talian 3330780 dan Jabatan Bandaran Tutong di talian 4221232 sambungan 200.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa membuat pengumuman pada sidang media di Kementerian Kesihatan kelmarin.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda