Sebahagian Jalan Utama Mentiri dilencongkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan memaklumkan orang ramai terutama pengguna jalan raya bahawa sebahagian Jalan Utama Mentiri akan dilencongkan bagi kerja-kerja pembinaan jejambat berdekatan dengan jalan susur Jejambat Jalan Utama Mentiri menuju ke Bandar Seri Begawan.

JKR dalam kenyataannya menjelaskan, lencongan jalan yang akan bermula pada 25 Julai ini (hingga kerja-kerja siap dilaksanakan) adalah disebabkan perlaksanaan bagi kerja-kerja substruktur bagi pembinaan jejambat yang terlibat dalam projek pembinaan jejambat di persimpangan Jalan Utama Mentiri dan Jalan Penghubung Tanah Jambu yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Sehubungan dengan itu, JKR mengingatkan para pengguna jalan raya supaya akan dapat berhati-hati dan sentiasa mematuhi papan-papan tanda keselamatan lalu-lintas yang telah dipasang di kawasan berkenaan demi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini.

Sebarang aduan, orang ramai boleh menghubungi pihak Jabatan ini melalui Talian Darussalam 123, Facebook Jabatan Kerja Raya, Brunei Darussalam dan e-mel Jabatan Kerja Raya, [email protected]