Sebahagian kaunter Kementerian Kewangan dan Ekonomi ditutup

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Kementerian Kewangan dan Ekonomi turut memaklumkan penutupan beberapa buah kaunter perkhidmatan di jabatan-jabatan dan bahagian di bawahnya bermula esok sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, kaunter yang akan ditutup termasuk Jabatan Perbendaharaan dan ini tidak termasuk kaunter penjualan beras, gula dan bendera di Kompleks Stor Negara Gadong, di mana pihak yang ingin berurusan perlulah menghubungi Jabatan Perbendaharaan terlebih dahulu untuk mendapatkan slot perjumpaan.

Selain itu, kaunter Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), tidak termasuk kaunter-kaunter pemeriksaan di pejabat-pejabat pos dan pos kawalan, kaunter Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) serta Bahagian Pendaftaran Syarikat dan Nama-nama Perniagaan (ROCBN) dan Bahagian Hasil.

Turut ditutup sementara adalah kaunter perdagangan, kaunter Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan, kaunter Sekretariat Ease of Doing Business dan kaunter Pusat Standard Kebangsaan.

Kenyataan menyatakan, orang ramai bolehlah berurusan serta membuat permohonan dan pembayaran secara dalam talian (online) melalui sistem-sistem yang sedia ada bagi beberapa perkhidmatan seperti Jabatan Perbendaharaan menerusi E-Invoice melalui www.tafis.gov.bn, JKED menerusi Brunei Darussalam National Single Window (BDNSW) www.bdnsw.gov.bn dan JPES menerusi e-CENSUS www.brucensus.gov.bn.

Selain itu, Bahagian ROCBN menerusi One Common Portal www.ocp.mofe.gov.bn, Bahagian Hasil melalui System for Tax Administration and Revenue Services (STARS) www.stars.gov.bn dan Bahagian Industri dan Ekosistem Perniagaan melalui OneBiz www.onebiz.business.gov.bn.

Sementara itu, bagi perkhidmatan yang masih memerlukan borang permohonan dan sebagainya untuk dihadapkan ke jabatan-jabatan dan bahagian di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, drop box disediakan di lobi bangunan kementerian bagi memudahkan orang ramai yang membuat urusan.

Orang ramai turut diingatkan untuk memastikan dokumen-dokumen berkenaan dimasukkan ke dalam sampul surat yang tertutup dengan menyatakan dengan jelas nama jabatan atau bahagian yang ditujukan bagi memudahkan urusan selanjutnya.

Drop box juga disediakan di Ibu Pejabat JKED. Borang-borang boleh dimuat turun melalui laman sesawang kementerian, www.mofe.gov.bn.

Bagi sebarang pertanya-an atau maklumat lanjut orang ramai bolehlah menghubungi jabatan dan bahagian melalui platform-platform yang ada.