Sebahagian kawasan di ibu negara terasa gegaran gempa bumi Indonesia

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Sebahagian kawasan di ibu negara dilaporkan mengalami gegaran susulan satu gempa bumi kuat yang melanda Katabu, (Lautan Flores), Indonesia bermagnitud 6.6 Skala Richter pada kedalaman 650km.

Gempa bumi Indonesia yang berlaku sekitar 1,596km dari Bandar Seri Begawan pada
jam 12:09:53 tengah hari pada 21 Ogos lalu menggegarkan Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi di Kampung Anggerek Desa, Berakas pada jam 12:34 tengah hari dan RB Plaza pada jam 1:28 petang serta sebahagian Kampung Bolkiah di Kampong Ayer di Bandar Seri Begawan.

Menurut kenyataan bersama dikeluarkan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan di sini, gelombang seismos disahkan oleh stesen JKR pada jam 12:12 tengah hari.

Sejurus menerima laporan panggilan kecemasan oleh penghuni di kawasan terbabit, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) bertindak membantu kakitangan keselamatan mengaktifkan pelan kecemasan dan prosedur evakuasi bagi mengosongkan bangunan-bangunan berkenaan.

Seramai 30 orang yang berada di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi serta seramai 37 orang di Bangunan RB Plaza telah mengosongkan bangunan-bangunan berkenaan.

Berikutan dengan itu, JBP dan JKR telah membuat pemeriksaan struktur dan tahap keselamatan bagi bangunan-bangunan berkenaan yang telah mengesahkan bahawa bangunan-bangunan berkenaan berada dalam keadaan selamat dan penghuni bangunan telah dibenarkan masuk semula pada pukul 4:15 petang.

Kenyataan menyatakan bahawa tidak ada laporan kemalangan jiwa dan kecederaan dilaporkan semasa kejadian berlaku di tempat-tempat berkenaan.