Sebahagian restoran mula menerima pelanggan

SAVANNAH – Kakitangan memakai penutup muka, memeriksa suhu badan pelanggan dan menggunakan tikar kertas pakai buang, beberapa buah restoran di seluruh negara telah dibuka semula untuk makan di kedai pada Isnin lalu dengan negeri-negeri telah mengurangkan lebih banyak sekatan koronavirus.

Restoran di Georgia dan Tennessee dan Anchorage, Alaska, mengalu-alukan kembali pelanggan, walaupun dengan pengalaman makan yang berbeza daripada sebelumnya, pandemik telah memaksa restoran untuk ditutup atau mengehadkan perkhidmatan mereka untuk dibawa balik atau penghantaran. Di Louisiana, kerajaan berkata restoran akan dibenarkan menempatkan orang di luar mulai Jumaat, meskipun tanpa menunggu pesanan di meja.

Di Georgia, makan di restoran dan menonton wayang telah dibenarkan untuk beberapa hari selepas beberapa buah perniagaan, termasuk kedai gunting, jim dan salon kuku, mula dibuka kepada pelanggan pada Jumaat.

“Kami sangat gembira untuk mengalu-alukan mereka kembali,” kata Chris Heithaus, yang telah menguruskan restoran 87 Waffle House.”

Ramai orang, saya rasa, mahu kembali ke kehidupan biasa, iaitu dengan penjarakan sosial dan perkara-perkara seperti itu. Tetapi mereka boleh makan di dalam restoran kembali.”

Pekerja Waffle House bersedia untuk mengambil pesanan pelanggan. Restoran di Atlanta mula dibuka semula buat pelanggan dengan sekatan koronavirus telah dilonggarkan. – AP
Corey Brooks mengambil pesanan pelanggan yang datang di Waffle House di Savannah, Georgia. Restoran-restoran di seluruh negara dibenarkan untuk menerima pelanggan untuk makan di restoran dengan sekatan sebelum ini dihadkan hanya untuk membawa balik makanan. – AP

Jason Gobey menggantung sepanduk di Madison Chop House Grille sebagai persiapan mereka untuk mengalu-alukan pelanggan datang ke restoran itu. Gabenor Brian Kemp telah melonggarkan sekatan ke atas restoran dengan memberikan garis panduan tertentu. – AP

Di rangkaian terkenal dengan sarapan pagi hash brown dan kebolehan untuk tetap dibuka dalam menghadapi bencana alam, ‘perkara biasa baharu’ termasuk pekerja memakai penutup muka, sebahagian kawasan ditutup untuk mengekalkan pelanggan berjauhan dan buku menu plastik ditukar dengan buku menu kertas.

Gabenor Brian Kemp mengumumkan minggu lalu bahawa dia akan melonggarkan sekatan meskipun pakar kesihatan memberi amaran potensi peningkatan jangkitan dan tidak dipersetujui oleh Presiden Donald Trump.

Kemp mengeluarkan 39 keperluan bagi restoran untuk mematuhinya, termasuk mengehadkan 10 orang pelanggan tiap-tiap 500 kaki persegi dan memastikan kesemua pekerja memakai penutup mulut.

Anchorage mula membenarkan restoran, salon rambut dan peniaga-peniaga tempatan untuk dibuka pada Isnin, tiga hari selepas keseluruhan Alaska mula melonggarkan sekatan. Tempat duduk mesti dihadkan kepada kapasiti 25 peratus, dan hanya ahli keluarga terdekat sahaja yang dibenarkan duduk semeja.

Satu buku log dengan nama pelanggan berserta nombor telefon mesti diambil oleh pihak restoran dan menyimpannya selama 30 hari jika diperlukan untuk menjejak kontak. Kesemua pekerja diwajibkan memakai penutup mulut dan hidung fabrik, dan pelanggan digalakkan untuk memakainya kecuali ketika makan.

Di Tennessee, pegawai negeri membenarkan restoran untuk dibuka semula di 89 dari 95 buah daerah di Tennessee bermula Isnin. Di BBQ Smoky Mountain Tony Gore di Sevierville,hanya beberapa buah meja untuk pelanggan disediakan pada Isnin petang, dan setiap pelanggan – termasuk pekerja – terpaksa diperiksa suhu badan mereka menggunakan alat termometer inframerah.

“Semua orang sangat bekerjasama mengenai perkara ini,” pengurus besar restoran, Keith Carter berkata mengenai pemeriksaan suhu badan. “Kami tahu kami akan menjumpai beberapa orang dan berkata ‘Ini sangat pelik’. Saya rasa ia adalah satu langkah berjaga-jaga.”

Di Madison, sebuah bandar kecil di Georgia kira-kira 60 batu dari Atlanta, Madiosn Chop House Grille mengambil langkah yang sama. Pekerja melekatkan tanda ‘X’ berwarna biru pada beberapa buah meja dan mengambil kerusi memberitahu pelanggan mereka tidak dibenarkan duduk di sana. Apabila pekerja masuk bertugas, mereka terpaksa memeriksa suhu badan dan merekodkan di papan putih yang boleh dilihat oleh pelanggan.

Restoran tersebut hanya mempunyai kira-kira enam buah meja untuk pelanggan yang ingin makan di sana, kata pengurus besar, Mary Spoto.

Setiap pelanggan yang datang ke sini mengucapkan terima kasih kepada kami kerana memulakan perniagaan, tetapi malangnya perniagaan agak perlahan,” kata Spoto. Kebanyakan restoran memutuskan untuk tidak membuka semula. Dennis McKinley merancang untuk membuka dua dari tiga buah rangkaian kedainya di kawasan Atlanta. Tetapi pagi Isnin dia membuat keputusan untuk tidak membukanya sama sekali, disebabkan bantahan orang ramai.

McKinley menjangkakan dia menerima kira-kira 40 panggilan pada hujung minggu lalu dari ahli politik, ketua-ketua komuniti dan pelanggan yang memintanya supaya tidak membuka restoran tersebut.

“Pada akhirnya, restoran yang saya buka tidak dapat dijalankan tanpa sokongan daripada masyarakat setempat, jadi saya rasa ia adalah penting untuk menangguhkan pembukaannya,” katanya.

Dia merancang untuk menunggu sehingga negeri dan pegawai setempat mencapai kata sepakat. Buat masa ini, kakitangannya akan terus bekerja untuk pelanggan yang ingin membawa balik makanan dan pesanan penghantaran.- AP