Sebahagian sejarah bola sepak

MADRID, 11 Jan – Bintang Real Madrid Cristiano Ronaldo (gambar) berkata dia adalah ‘sebahagian daripada sejarah bola sepak’ dalam satu wawancara yang diterbitkan sehari selepas memenangi anugerah pemain terbaik FIFA 2016, semalam.

“Saya tidak ragu-ragu lagi yang saya sudah menjadi sebahagian daripada sejarah bola sepak. Ia sentiasa menjadi matlamat utama saya, sejak saya mula bermain: bukan hanya untuk jadi pemain, tetapi menjadi bintang dan sentiasa berusaha menjadi yang terbaik,” katanya kepada Fifa.com.

“Dan saya berjaya melakukannya: trofi-trofi ini membuktikannya – kedua-dua kejuaraan, anugerah peribadi, dan rekod. Ia adalah penghargaan tertinggi dan merangsang saya untuk terus bekerja keras seperti yang saya lakukan sekarang.”

Ronaldo, 31, meraih anugerah itu pada malam penuh gemilang di Zurich selepas tahun cemerlang menyaksikan dia membawa Real Madrid memenangi Liga Juara-Juara dan Kejuaraan Eropah 2016 bersama Portugal.

Dia sudah memenangi Ballon d’Or selepas merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara ketiganya, di mana dia meledak 16 gol dalam 12 perlawanan. Namun bagi pemain Portugal itu, menjuarai Euro 2016 adalah kemuncak dalam kariernya.

“Bukan untuk merendah-rendahkan trofi lain, Liga Juara-Juara dan Piala Dunia Kelab, tetapi ini amat istimewa kerana ia adalah gelaran pertama dalam sejarah Portugal.” – AFP