Wednesday, June 7, 2023
34 C
Brunei

    -

    Sebar kesedaran melalui karya kreatif

    Oleh Nurdiyanah R.

    Sejak zaman dahulu lagi, lukisan digunakan dengan meluas untuk menyampaikan suatu idea. Setiap karya seni itu memiliki nilai estetika dan kreativitinya yang tersendiri.

    Mesej yang disampaikan melalui karya seni kadangkala bersifat abstrak, yang hanya boleh difahami melalui penerangan penciptanya.

    Adalah menjadi impian penggiat karya seni tempatan untuk mencetuskan inspirasi dan kebanggaan dalam kalangan komuniti kreatif tanah air sambil berazam untuk terus menawarkan perspektif kreatif baharu dan peranan yang lebih luas kepada orang ramai.

    Sehubungan itu, sebanyak 63 karya pelajar Program Reka Bentuk dan Industri Kreatif (DCI), Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menggabungkan bakat mereka dalam pameran UBD Spectrum 2023: Lumen.

    Pameran tersebut berlangsung di ruang sebelah kanan, Dewan Canselor UBD selama sebulan sehingga 9 Jun nanti. Ia mengetengahkan hasil karya pelajar daripada pelbagai kluster seperti seni halus, reka bentuk fesyen, seni dan digital, pembangunan permainan, reka bentuk produk, penerbitan, filemografi, fotografi, seni bina dan reka bentuk dalaman serta arca dan pemasangan.

    Mizzah Razali menunjukkan majalahnya bertajuk ‘Little Steps Magazine: The First Issue’.
    Para pengunjung melihat salah satu hasil karya kreatif di pameran berkenaan.
    Salah sebuah karya lukisan Azim Bahar bertajuk Fenomena: Warisan Budaya.
    Nixlan bersama hasil karyanya berjudul ‘Kehilangan Identiti Budaya’.
    ‘Little You-th’ yang dihasilkan oleh Wani Zain.

    Berkesempatan ditemui penulis baru-baru ini, Pengarah Pameran, Nixlan Johan berkata objektif pameran berkenaan adalah untuk mengetengahkan nilai kreatif para pelajar dengan harapan ia akan berkembang dalam industri.

    “Dengan kata lain, setiap daripada kami bercita-cita untuk menghidupkan keperibadian dan imaginasi yang disampaikan melalui karya masing-masing dengan harapan ia menjadi sumber cahaya dalam kegelapan yang terus bersinar dan memberi inspirasi kepada orang lain untuk memakmurkan dan memajukan industri kreatif yang semakin berkembang khususnya dalam arena tanah air kita.

    “Pastinya pameran ini bukanlah semata-mata mampu menonjolkan bakat kreatif para pelajar, akan tetapi ia juga mengetengahkan pelbagai topik dan isu yang lebih meluas, dengan menggunakan berbagai-bagai kaedah yang sememangnya boleh membawa para pengunjung mencapai kesedaran dan kefahaman terhadap apa itu industri kreatif, serta potensi dan kepentingan yang dicurahkan dalam setiap karya,” ujarnya.

    Pertahan identiti warisan budaya

    Dalam pada itu, Nixlan dalam hasil karya seni lukisannya berjudul Kehilangan Identiti Budaya menggambarkan keadaan dari setahun ke setahun nilai-nilai budaya yang kita warisi daripada nenek moyang kita yang semakin pudar daripada kehidupan sehari-hari.

    Menjelaskan salah satu karya lukisan daripada tiga buah karya yang diketengahkan, beliau berkata daripada lakaran gambar sudu kayu melambangkan semangat bergotong-royong; gasing merujuk kepada salah satu permainan tradisi Melayu; dan kacip pula bermaksud sesuatu peralatan budaya yang masih ada dijual namun tidak lagi dimanfaatkan sebaiknya oleh masyarakat kita. Maka apa yang ingin disampaikan ialah nilai-nilai warisan dan budaya itu seakan-akan hanya tinggal kenangan di mana generasi pada masa kini lebih cenderung mengabaikannya disebabkan arus kemodenan.

    Terselitnya nilai murni di sebalik folklor

    Tasik Merimbun, Bukit Tempayan Pisang, Si Merah dan Si Putih, serta Orang Mahaliya merupakan empat kisah folklor tempatan yang diketengahkan oleh Azim Bahar dalam karya lukisannya yang bertajuk Fenomena: Warisan Budaya.

    Cerita-cerita mitos tersebut sememangnya memiliki pengajarannya yang tersendiri untuk kehidupan seharian kita.

    “Berpandukan penyelidikan menerusi temu bual bersama orang-orang tua, pensyarah serta pembacaan buku-buku, ia secara tidak langsung mampu memberi gambaran ketika menghasilkan lukisan bagi setiap cerita folklor yang ingin disampaikan,” kongsinya.

    Kawal emosi demi kesihatan

    Melalui karya berjudul Little You-th yang dihasilkannya, Wani Zain berkata sentuhannya lebih menekankan bagaimana emosi mempengaruhi kehidupan seharian kita dan membentuk diri kita sekarang.

    “Waktu kanak-kanak dan remaja adalah peringkat penting dalam kehidupan kita. Perkataan dan frasa seperti menyusahkan, pemalas, inda pandai bersyukur dan sebagainya merupakan sesuatu yang sering kita dengar semasa kecil dan hakikatnya ia boleh menjejaskan kesihatan mental dan kesejahteraan kita.

    “Kata-kata itu mungkin kelihatan tidak berbahaya, tetapi kita tidak tahu apa yang terlintas dalam fikiran mereka apabila mendengarnya. Lukisan latar belakang menggambarkan emosi di mana saya bermain dengan warna yang menonjolkan emosi. Tujuannya adalah untuk membuatkan pengunjung berfikir bagaimana reaksi anak terhadap kata-kata tersebut,” jelasnya.

    Kemampanan alam sekitar tanggungjawab bersama

    Sementara itu, menerusi majalah bertajuk Little Steps Magazine: The First Issue yang dihasilkan oleh Mizzah Razali, ia bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran tentang isu penting dan memberi inspirasi kepada perubahan positif dalam kehidupan di dunia ini.

    “Tumpuan saya pada kemampanan didorong oleh kepercayaan yang mendalam bahawa kita mempunyai tanggungjawab untuk melindungi bumi kita melalui amalan kitar semula.

    Dengan reka bentuk grafik ini, saya meyakini bahawa ia mempunyai kuasa untuk membuat perubahan, dan saya komited untuk mencipta karya yang mencetuskan perbualan, menggalakkan perubahan dan memberi kesan positif kepada dunia,” tekannya.

    “Keluaran pertama ini memberi tumpuan kepada kemampanan, sambil mengajar kanak-kanak mengenai kepentingan menjaga alam sekitar melalui cara kreatif. Ia juga bertujuan untuk memupuk masyarakat yang bertanggungjawab dengan sama-sama mewujudkan masa depan yang lebih baik untuk semua.”

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    NZ ambil tindakan penggunaan vape

    WELLINGTON, 6 JUN - New Zealand akan mengambil tindakan tegas terhadap penggunaan vape atau rokok elektronik untuk melindungi golongan mudanya, umum Menteri Kesihatan Ayesha...
    - Advertisment -