Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Sebar manfaat amalan hidup aktif

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 SEPT – Dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai mengenai manfaat kegiatan fizikal dan amalan gaya hidup aktif, Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Gleneagles Jerudong Park Medical Centre (JPMC) dan HSB Fitness, mengadakan Acara FITNESS4U yang berlangsung di kawasan lapang Dermaga Diraja, Program Bandarku Ceria, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Acara di bawah program Happy Environment and Lifestyle (HEAL) dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Kesukanan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud selaku tetamu kehormat.

    Semasa acara itu, pelbagai aktiviti menarik diadakan termasuk senamrobik tabata impak rendah, bootcamp khusus bagi kanak-kanak, permainan skating, sukan tempur dan cabutan bertuah.

    Acara FITNESS4U bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan orang ramai mengenai manfaat kesihatan yang diperoleh dengan melakukan kegiatan fizikal dan mengurangkan gaya hidup sedentari.

    Selain daripada itu, ia juga adalah untuk mendukung dan mengenal pasti penglibatan komuniti setempat, warga sekolah, peniaga persendirian, pusat kesihatan dan pihak yang berkepentingan dalam bidang sukan dan rekreasi untuk sama-sama mempromosikan aktiviti-aktiviti kegiatan fizikal yang boleh diterapkan sesuai dengan budaya kita.

    Dengan adanya aktiviti atau program seumpama itu, Kementerian Kesihatan berharap agar orang awam dapat membantu Pusat Promosi Kesihatan dan pihak yang berkepentingan dalam sama-sama menangani isu-isu yang berkaitan dengan penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, penyakit jantung, kanser dan sebagainya dengan mempromosikan amalan gaya hidup yang sihat kepada semua peringkat umur.

    Di samping itu juga, ia diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dan pemahaman orang awam mengenai kepentingan menjaga kesihatan diri sendiri dan juga masyarakat sekeliling.

    Aktiviti senamrobik tabata impak rendah memeriahkan lagi acara FITNESS4U yang berlangsung di kawasan lapang Dermaga Diraja, Program Bandarku Ceria, Bandar Seri Begawan, kelmarin.
    Kanak-kanak menyertai aktiviti permainan skating semasa acara FITNESS4U.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...