Sebuah bilik musnah akibat kebakaran

Oleh Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Sebuah bilik yang menyimpan barangan elektrik di tingkat dua sebuah bangunan di Pekan Muara telah mengalami kerosakan dalam kejadian kebakaran, kelmarin. 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini hari ini, seramai 11 orang anggota dari Balai Bomba Muara, Cawangan Operasi A  yang diketuai oleh ASO Haji Bujang bin Haji Puteh, dikejarkan ke tempat kejadian di TSK 2, Unit 2, Tingkat 2, Pekan Muara pada pukul 9:06 malam. 

Kenyataan menyatakan bahawa apabila sampai di tempat kejadian asap tebal menyelubungi tingkat dua bangunan berkenaan dan membakar keseluruhan bilik yang dijadikan penyimpanan barang-barang elektrik yang mana dinding bilik tersebut diperbuat daripada konkrit dan beratapkan spandik. 

Anggota bomba bertindak memakai alat pernafasan dan memadam kebakaran menggunakan satu hos jet yang mana sumber air digunakan melalui tangki jentera dan pili bomba yang berdekatan.

Kenyataan menyatakan lanjut bahawa tidak ada kemalangan jiwa berlaku dan punca serta anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.

Sehubungan itu, JBP menyarankan orang ramai supaya memastikan bangunan dilengkapi dengan peralatan pemadam api ringkas jenis debu kering 4kg dan selimut api, memastikan menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah, memastikan penyimpanan bahan-bahan yang mudah terbakar di satu tempat yang lebih teratur dan pengurusan rumah yang baik serta sering menjalankan pembersihan di kawasan bekas sisa-sisa bahan berbahaya.

Sebuah bilik yang menyimpan barangan elektrik di tingkat dua sebuah bangunan di Pekan Muara telah mengalami kerosakan akibat kebakaran kelmarin. – Gambar serahan JBP