Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 8 Jan – Sebuah keluarga berbangsa Dusun yang merangkumi sepasang suami isteri dan tiga orang anak mereka telah memilih agama Islam sebagai pegangan dan mengucapkan Dua Kalimah Syahadah masing-masing di Pejabat Bahagian Dakwah Islamiah, di sini, hari ini.
Awang Junis bin Monunsui kini dikenali sebagai Muhammad June bin Abdullah Monunsui dan isterinya Dayang Rohani binti Mering pula memilih nama Islamnya Didi Rohani binti Abdullah Mering.
Hadir selaku tetamu kehormat menyaksikan majlis pengislaman itu ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, ACP Pengiran Haji Mohd Jefri bin Pengiran Haji Abdul Hamid bersama isteri.
Awang Muhammad June yang merupakan seorang pekerja buruh di salah sebuah syarikat swasta menjelaskan, beliau bersama keluarganya telah memilih agama Islam dengan kerelaan hati.
Menurut Awang Muhammad June, sebelum ini beliau pernah berbincang bersama isteri dan anak-anaknya mengenai keinginan beliau untuk memeluk agama Islam dan ternyata anak-anak dan isterinya sudah lama mempunyai minat yang sama dan menyokongnya.


Beliau menambah lagi, beliau berminat memeluk agama Islam kerana menyaksikan keluarga sebelah isterinya yang sudah pun ramai memeluk agama Islam, ini menambahkan lagi keyakinannya untuk memilih Islam sebagai agama pegangannya.
Selepas memeluk Islam, Awang Muhammad June dan keluarga akan mengikuti kursus-kursus pengislaman sebagaimana yang dijadualkan oleh Pusat Dakwah Islamiah dan berharap akan dapat memahami dan mempelajari agama Islam dengan lebih mendalam dan berharap akan dapat mengukuhkan lagi keimanan mereka kepada Allah S.W.T.
Sementara isterinya, Dayang Didi Rohani berharap setelah memeluk agama Islam, beliau akan bergiat aktif mengikuti kursus atau kelas-kelas yang disediakan oleh Muslimah Bahagian Mualaf di Daerah Tutong.