Sebuah lagi kereta terbakar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) terus menyarankan kepada orang ramai supaya sentiasa memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhan sebelum digunakan seperti memastikan tiada sebarang kebocoran yang boleh menyebabkan pengaliran cecair mudah terbakar pada blok enjin yang panas atau sistem elektrik.

Saranan dikeluarkan oleh JBP dalam kenyataannya, di sini, di mana ia menyatakan bahawa 13 orang anggota bomba dan penyelamat dengan dua buah jentera dari Balai Bomba Rimba yang diketuai oleh ASO Adnan bin Haji Hitam, dikejarkan ke insiden kebakaran kereta di Rancangan Perumahan Negara Kampung Rimba pada pukul 2:07 petang, kelmarin.

Anggota bomba apabila sampai di tempat kejadian mendapati api berkenaan telah dipadamkan oleh pemilik kereta dan jiran sebelum kereta bomba tiba di tempat kejadian.

Kebakaran itu melibatkan sebahagian enjin kereta yang diletakkan di hadapan rumah dan anggota bomba bertindak memadam dengan menggunakan satu hos reel dengan air diperoleh daripada jentera bomba.

Kenyataan menyatakan bahawa pemilik kenderaan itu merupakan seorang warganegara tempatan dan tidak ada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan serta punca api dan anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.

JBP menyarankan kepada orang ramai untuk sentiasa memastikan mana-mana pengubahsuaian atau penambahan sistem elektrik enjin dan aksesori kereta serta pendawaian hendaklah mengikut piawaian yang betul dan dibuat oleh mekanik yang bertauliah kerana arus elektrik kenderaan yang tinggi boleh menyebabkan kabel terbakar dan kebakaran.

JBP turut menyatakan bahawa jabatan berkenaan ada menyediakan program-program keselamatan seperti Kursus Marsyal Bomba, Kursus Life Saver 995 dan Taklimat Keselamatan Kebakaran bagi mengetahui aspek-aspek keselamatan semasa menangani kecemasan serta mengetahui tatacara yang betul bagi penggunaan alat pemadam api.

Orang ramai turut disaran-kan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, mereka hendaklah berhubung terus ke talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

Anggota bomba dan penyelamat bertindak memadamkan kebakaran kereta yang berlaku di RPN Kampung Rimba, kelmarin. – Gambar serahan JBP