Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Sebuah lagi kereta terbakar

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) terus menyarankan orang ramai untuk sentiasa memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhan sebelum digunakan seperti memastikan tiada sebarang kebocoran yang boleh menyebabkan pengaliran cecair mudah terbakar pada blok enjin yang panas atau sistem elektrik.

    JBP membuat saranan itu berikutan kejadian kebakaran kereta yang dilaporkan berlaku di kawasan letak kereta sebuah bangunan di Batu Satu pada pukul 7:41 malam, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan JBP, di sini, hari ini, lima orang anggota dari Balai Bomba Bandar Seri Begawan, Cawangan Operasi A yang diketuai oleh SO Haji Embran bin Haji Ya’akub telah dikejarkan ke tempat kejadian.

    Api berkenaan telah pun berjaya dipadamkan oleh seorang pegawai keselamatan iaitu Awang Mohd Nurfaiq bin Halim daripada J Guard Security Services dengan menggunakan alat pemadam api 4.5 kilogram jenis debu kering.

    Anggota bomba dan penyelamat bertindak memadam bara-bara api dan membuka kepala bateri bagi langkah-langkah keselamatan.

    Punca api dan anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.

    Dalam kenyataan itu, JBP turut menyarankan orang ramai untuk sentiasa memastikan mana-mana pengubahsuaian atau penambahan sistem elektrik enjin dan aksesori kereta serta pendawaian hendaklah mengikut piawaian yang betul oleh mekanik yang bertauliah kerana arus elektrik kenderaan yang tinggi boleh menyebabkan kabel terbakar dan kebakaran.

    Orang ramai turut disarankan bahawa jika berlaku sebarang insiden kecemasan, mereka hendaklah menghubungi terus talian kecemasan 995 dan memberikan maklumat yang tepat.

    Anggota bomba dan penyelamat bertindak memadam bara-bara api dalam insiden kebakaran kereta yang berlaku di kawasan letak kereta di Batu Satu pada malam kelmarin. – Gambar serahan JBP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...