Sebuah syarikat, 12 individu dikompaun

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 APRIL – Sebuah syarikat dan seramai 12 orang individu terdiri daripada tiga orang warga tempatan dan sembilan orang warga asing telah dikenakan kompaun oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang (BPU), Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB), baru-baru ini.

Syarikat dan individu-individu berkenaan didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, Penggal 30 Bab 12 (1) kerana meletakkan, melonggokkan, meninggalkan dan membuang sampah seperti bekas bahan perniagaan, bekas bahan binaan, pembuangan sampah secara tidak teratur, puntung rokok dan sebagainya yang ditakrifkan sebagai sampah di tempat awam di kawasan sekitar Kampung Menglait Gadong, The Mall Gadong, Kampung Kiarong dan pusat bandar.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBBSB, di sini, hari ini, menyatakan menurut siasatan yang dijalankan oleh BPU, JBBSB, mendapati syarikat gagal menguruskan pembuangan sampah secara teratur dan melonggokkan di kawasan yang berbahaya dan mudah terbakar seperti melonggokkan berdekatan dengan pendawaian wayar elektrik dan alat kompresor pemprosesan aktiviti perniagaan selain menyukarkan bagi kerja-kerja kecemasan dan menyelamat.

Kenyataan menyatakan bahawa syarikat berkenaan dikenakan kompaun sebanyak $200 manakala individu-individu berkenaan dikenakan $100 setiap seorang di mana syarikat serta individu-individu itu adalah dikehendaki membayar kompaun ke Bahagian Kewangan, Tingkat 3, JBBSB dalam tempoh masa tujuh hari.

Kegagalan dalam menjelaskan bayaran kompaun berkenaan akan mengakibatkan kes berkenaan dihadapkan ke mahkamah, yang mana bagi kesalahan pertama boleh membawa hukuman denda $1,000.

Manakala kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.

JBBSB juga mengingatkan syarikat-syarikat perniagaan, orang ramai dan pemilik-pemilik premis perniagaan serta pemilik atau penyewa bangunan untuk menguruskan pembuangan sampah-sampah perniagaan secara teratur dan bertanggungjawab selain sama-sama menjaga kemaslahatan orang ramai.

Sebarang aduan dan perkongsian maklumat boleh disampaikan terus menerusi Talian Darussalam 123, WhatsApp 8333123, laman sesawang, www.123.gov.bn atau e-mel, [email protected] atau talian Hotline BPU, 7291122.