Wednesday, April 17, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Sebuah syarikat dikenakan kompaun $1,000

    Oleh Yusrin Junaidi

    BELAIT, 7 NOV – Sebuah syarikat telah dikenakan kompaun $1,000 oleh Unit Penguatkuasaan Jabatan Daerah Belait kerana didapati meninggalkan dan melonggokkan bahan binaan tanpa kebenaran di tempat awam.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Daerah Belait, syarikat berkenaan melakukan kesalahan di bawah Bab12 (1) (f) (ii) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, 2021 dan diberikan tempoh tujuh hari untuk membayar denda kompaun berkenaan.

    Jika gagal, syarikat tersebut akan dikenakan denda tidak kurang $2,000 dan tidak melebihi $10,000 manakala itu, bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari $10,000 dan tidak melebihi $30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

    Jabatan itu menekankan, sikap pembuangan sewenang-wenang berkenaan mencemarkan kecantikan dan merosakkan alam sekitar di kawasan tersebut.

    Dalam memastikan Akta Kesalahan-kesalahan Kecil, 2021 dilaksanakan, Unit Penguat-kuasaan Jabatan Daerah Belait sentiasa menjalankan operasi pemantauan iaitu membuat rondaan di tempat-tempat awam dan kawasan larangan pembuangan sampah.

    Selain itu, pemantauan juga dijalankan ke atas aktiviti-aktiviti bengkel, pengilangan, penternakan dan pembinaan agar mereka mematuhi peraturan yang ada.

    Dalam hubungan itu, unit penguatkuasaan menasihatkan penduduk Daerah Belait supaya mempunyai sikap yang mementingkan aspek kebersihan persekitaran dalam kehidupan sehari-hari.

    Orang awam juga ditegaskan supaya membuang sampah sarap di tempat yang telah disediakan oleh pihak kerajaan dan jangan dijadikan longkang, sungai dan tasik sebagai tempat pilihan pembuangan.

    Orang awam dialu-alukan untuk menyampaikan maklumat-maklumat pembuangan sampah yang tidak dibenarkan di kawasan awam melalui talian 334335/6/7 sambungan 1153 ataupun talian 8711316.

    Bahan binaan yang dibuang di tempat awam di Daerah Belait. – Gambar serahan Jabatan Daerah Belait.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China alu-alukan pelaburan asing dari Jerman

    BEIJING, 16 APRIL - Timbalan Perdana Menteri China, He Lifeng bertemu dengan delegasi ekonomi Jerman yang mengiringi Canselor Jerman, Olaf Scholz dalam lawatan ke...