Sebutan kes guna harta benda hasil jenayah 21 mac

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MAC – Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret pada Sabtu lalu atas pertuduhan menerima dan menggunakan harta benda hasil kegiatan jenayah.

Mohammad Tarmizi bin Husaini, 29, didakwa menerima dan menggunakan harta benda hasil jenayah berupa kereta mewah di kawasan Kampung Sungai Teraban pada 2 Mac 2020 sekitar jam 7:30 malam dan 9:05 malam.

Mohamad bin Ismail, 23, yang berdepan tuduhan sama pula didakwa menerima dan menggunakan harta benda hasil jenayah berupa sebuah kereta lain di kawasan Kampung Sungai Bakong pada tarikh dan waktu sama. Mereka didakwa melakukan kesalahan yang dihukum di bawah 3 (1) (b) Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah 2012 jika didapati bersalah.

Hukuman di bawah 3 (1) Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah 2012 memperuntukkan denda tidak melebihi $500,000; penjara untuk tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Majistret Mohammad Marzuqi bin Sabtu menetapkan sebutan seterusnya pada 21 Mac 2020 untuk menentukan tarikh perbicaraan. Pendakwaan dibuat Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Firdaus bin Mohammad.