Sebutan kes kebakaran ditangguhkan

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Julai – Sebutan kes seorang lelaki yang didakwa menyebabkan kebakaran pada Bangunan Halimatul Saadiah di Gadong pada April lalu ditangguhkan oleh Mahkamah Tinggi, hari ini, sehingga 20 Ogos 2018.

Ketua Hakim Dato Paduka Steven Chong membenarkan kes itu ditangguhkan selepas Peguam Haji Rozaiman yang mewakili tertuduh, Haji Ahmad bin Haji Tamin, 57, memaklumkan mahkamah yang dia memerlukan masa untuk meneliti kes itu.

Dalam sebutan hari ini, Ketua Hakim memuji tindakan Peguam Haji Rozaiman yang memberi perkhidmatan undang-undang secara pro bono (percuma) kepada tertuduh sambil menggalakkan peguam lain untuk mengikutinya.

Tertuduh berdepan hukuman penjara seumur hidup di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan, Penggal 22 jika didapati bersalah atas dakwaan melakukan kerosakan dengan menyebabkan kebakaran pada salah satu dari pondok jualan di bangunan tersebut pada 4 April 2018 antara jam 2 dan 3 pagi. Tertuduh diperintahkan untuk terus ditahan reman. Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Fitri binti Kiprawi.