Wednesday, March 19, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sebutan kes rasuah 4 Februari depan

    Oleh Rafidah Jumat

     

    pg06_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jan – Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menetapkan 4 Februari untuk sebutan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan seorang bekas pegawai polis dan seorang pengarah urusan syarikat pembinaan.

    Penguasa Haji Khairul Rijal bin Haji Abu Salim didakwa menerima Toyota Hilux daripada Pengarah Urusan Say Koo (Liew) Sdn Bhd dan L & E Contractor, Liew Say Koo sekitar tahun 2012 sebagai ganjaran untuk membantunya masuk dan keluar dari Negara Brunei Darussalam berulang kali antara tahun 2011 dan 2013.

    Liew telah diusir dari Brunei dan tidak dibenarkan memasuki negara ini sejak 17 November 2007 selepas menjalani hukuman dua tahun penjara atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat ke atas teman wanitanya.

    Haji Khairul Rijal didakwa membuat permohonan bagi pihak pesuruhjaya Pasukan Polis Diraja Brunei dan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah kepada Pengawal Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan yang menyatakan bahawa Liew diperlukan untuk membantu siasatan polis.

    Haji Khairul Rijal juga berdepan dakwaan menyalahgunakan kuasanya dan menerima Toyota Hilux daripada Liew yang mengetahui tanggungjawab rasminya sebagai seorang pegawai polis.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada Haji Khairul Rijal.

    Liew Say Koo, pada Disember tahun lalu, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memberi rasuah kepada Haji Khairul Rijal.

    Dalam sebutan hari ini, Peguam Roy Prabhakaran yang mewakili Haji Khairul Rijal yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dibenarkan melawat anak guamnya di bawah pengawasan selama sejam.

    Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Aldila binti Haji Mohd Salleh.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda