Sedekah dan Doa – ‘Vaksin Ketuhanan’

Oleh Osman Abu Bakar

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned (gambar bawah), menyeru umat Islam untuk sama-sama menggunakan ‘Vaksin Ketuhanan’ secara konsisten iaitu sedekah dan doa untuk memerangi COVID-19 sementara menunggu vaksin biasa yang bakal dihasilkan.

Sedekah dan doa, menurutnya tidak syak lagi boleh diyakini mampu menolak dan melawan koronavirus baharu itu.

Yang Berhormat Pehin membuat seruan tersebut semasa ceramah khas yang bertajuk ‘Apa Kata Mufti Tentang COVID-19’ (siri ke-3) yang disiarkan melalui Radio dan Televisyen Brunei hari ini.

Beliau menyatakan bersedekah adalah perkara yang dianjurkan oleh agama, rahsianya tersendiri, antaranya untuk menolak atau mencegah apa jua perkara yang tidak diingini sebagaimana hadis Nabi Muhammad SAW riwayat at-Thabarani, ertinya: “Sedekah itu menutup 70 pintu keburukan”, dan ada lagi riwayat lain, ertinya: “Sedekah itu menolak atau mencegah 70 bala, sekurang-kurangnya (bala) penyakit sopak dan kusta.”

“Dapat kita bayangkan kalau bala atau penyakit itu datang daripada Allah, kerana bersebab Allah murka terhadap manusia yang melakukan dosa, maka dengan sedekah ada harapan bala atau penyakit itu akan hilang atau sembuh, disebabkan murka Allah telah padam dengan berkat sedekah,” tegasnya lagi.

“Sedekah adalah hijab (pendinding) kepada bala. Tidak kira sedekah itu banyak ataupun sedikit, semua berfungsi sama sahaja, mampu mendinding dan menolak bala. Malah bukan bala dunia sahaja seperti bala COVID-19, bahkan bala akhirat berupa azab api neraka juga mampu disangga, ditolak oleh sedekah berdasarkan hadis Nabi SAW,” jelasnya.

Merujuk kepada doa, Yang Berhormat Pehin menegaskan bahawa pendekatan Brunei Darussalam mengutamakan doa untuk memerangi COVID-19 adalah pendekatan yang tidak boleh dipertikai, lebih-lebih lagi pendekatan ini bertambah berkat apabila raja kita sendiri dari awal-awal lagi telah menekankan tentang doa itu.

“Dua titah perutusan khas Baginda mengenai COVID-19, ada menyebut doa, malah Baginda sendiri di dalam titah perutusan itu melafazkan doa. Dan bahkan, di dalam titah perutusan menyambut Ramadan, Baginda telah mengingatkan kita semua tentang Doa Qunut Nazilah yang tidak dapat dibaca di masjid pada hari Jumaat, mengapa ia tidak dibaca dalam mana-mana sembahyang fardu lima waktu? Dengan ini jelas, betapa prihatinnya raja kita terhadap doa,” jelasnya.

Doa adalah penyelamat bukan pembinasa, kerana itu kalau berdoa, tegasnya kita disuruh supaya bersungguh-sungguh, berdoa dengan hati yang benar-benar ikhlas dan khusyuk, bukan setakat menadah tangan tetapi hati kita liar tidak bulat kepada Allah.

Sebagai merista perkara yang baik, Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa Negara Brunei Darussalam sudah dan masih sahaja terus memakai atau mengambil dua-dua vaksin ketuhanan ini, khasnya semenjak Brunei turut dilanda oleh wabak COVID-19 dan jutaan syukur serta puji ke hadrat Allah SWT, kerana Brunei dikurniakan keadaan luar biasa berbanding di tempat-tempat lain, di mana jangkitan wabak di negara ini sudah berada ditahap sifar semenjak lebih dari seminggu kebelakangan ini.