Sedekah umpama pelaburan menguntungkan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Sikap tolong-menolong dan bantu-membantu sangat dianjurkan oleh Islam kerana dengan berbuat demikian ia akan dapat menimbulkan perasaan hormat-menghormati, kasih-mengasihi dan sayang menyayangi antara satu sama lain.

Khatib dalam khutbah Jumaat yang bertajuk ‘Pahala dan Keutamaan Bersedekah’ hari ini mengongsikan bahawa salah satu cara untuk melaksanakan konsep tolong-menolong adalah dengan cara bersedekah.

Beliau menekankan lagi yang Islam itu adalah agama kasih sayang yang mengutamakan mahabbah, ukhuwah sesama insan dengan tidak membezakan antara golongan yang miskin mahupun yang kaya.

Dari itu, katanya, harta yang dimiliki bukanlah hal mutlak seseorang itu akan tetapi terdapat hak atau milik orang lain di dalamnya.

Dengan memberikan infak atau membelanjakan harta dengan bersedekah seperti memberikannya kepada golongan fakir miskin, kaum keluarga, menyumbang ke tabung masjid, tabung dana pembinaan masjid, tabung derma anak-anak yatim dan seumpamanya bukan saja dapat membantu golongan yang susah dan memerlukan bahkan dapat mendidik diri dan jiwa untuk menjadi orang yang sentiasa membuat kebaikan.

Kelebihan dan fadilat bersedekah sangat besar dan banyak dan ini jelas terbukti dengan dalil-dalil dari Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang banyak menyebut mengenai ganjaran dan kelebihan bersedekah.

Khatib seterusnya menambah, antara kebaikan sedekah itu ialah ia dapat menghindarkan diri dari mendapat su’ul khotimah iaitu mati dalam keadaan yang buruk dan hina, selain dapat mendinding diri daripada api neraka.

Seterusnya kelebihan daripada memberikan sedekah ialah Allah SWT akan mengganti harta orang yang bersedekah dengan sesu-atu yang lebih baik dan pahala sedekah akan sentiasa mengalir walaupun setelah ia meninggal dunia.

“Selain daripada itu, sedekah dapat menghapuskan kesalahan di masa lalu, dan ia juga sebagai penyejuk panas di alam kubur. Orang yang bersedekah juga mendapat naungan Allah pada hari kiamat kelak,” tambahnya.

Bersedekah bukanlah satu amalan yang boleh dipaksa, akan tetapi Islam menyuruh umatnya untuk bersedekah sesuatu walaupun nilai atau kadarnya sederhana ataupun sedikit kerana biarpun nilai sedekah itu sedikit tetapi ia tetapi bernilai di sisi Allah SWT.

Sedekah itu mencakupi pelbagai bentuk bantuan, pertolongan dan sesuatu yang mendatangkan kegembiraan menerusi apa yang diberikan kepada saudara mara, rakan taulan atau sesiapa saja.

Bersedekah bukan hanya tertumpu pada wang atau benda, akan tetapi senyuman yang menggembirakan orang lain turut dianggap sebagai satu sedekah. Antara perkara-perkara yang boleh dianggap sebagai sedekah termasuk menghalalkan atau melepaskan hutang, mengucapkan sesuatu perkara yang baik, setiap langkah menuju sembahyang, membuang sesuatu yang berbahaya di jalan dan setiap perbuatan makruf termasuk antara perbuatan sedekah.

Khatib turut menjelaskan bahawa orang-orang yang enggan bersedekah, yang takut atau tidak mahu hartanya berkurangan, mereka sentiasa dalam kerugian yang bukan sedikit tapi sangatlah besar.

Ini kerana dengan bersedekah ia boleh menikmati ganjaran yang begitu banyak dengan mudah dan berlipat ganda daripada apa yang telah dikeluarkan dan rebutlah peluang keemasan ini.

“Sesungguhnya bersedekah ini umpama satu pelaburan yang tidak akan mengalami kerugian walau sedikit malah ia adalah sangat menguntungkan,” jelasnya semasa mengakhiri khutbah.