Sedia bagi pergerakan rentas sempadan M’sia-S’pura hari ini

JOHOR BAHRU, 16 OGOS – Kerajaan sudah bersiap sepenuhnya bagi pergerakan rentas sempadan antara Malaysia-Singapura di bawah skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA), mulai esok.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata Wisma Putra dan pihak berkuasa Singapura telah melakukan perbincangan teliti sebelum mencapai persetujuan pembukaan sempadan.

Beliau berkata dari segi pengangkutan awam, pihaknya akan merujuk kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sama ada terdapat keperluan untuk menyediakan per-khidmatan tersebut tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“APAD akan memantau. Kita dalam satu kerajaan (Malaysia-Singapura) memang saling berhubung satu sama lain. Jika, ada keperluan (terhadap pengangkutan awam), kita akan buka. Kita sedar bukan semua orang ada kereta.

“Kalau pengangkutan awam beroperasi, ia akan melibatkan kos, kalau tiada orang yang dibawa (oleh pengangkutan awam), ia akan rugi. Jadi, mesti ada percaturan, perancangan rapi supaya apa yang dilakukan menguntungkan,” katanya.

Wee yang juga Presiden MCA berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ladang Grisek, di Kota Masai di sini hari ini, yang turut dihadiri, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon.

Pada 26 Julai lepas, Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatan dari Singapura Dr Vivian Balakrishnan bertemu di atas Tambak Johor. – Bernama

Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (tengah) melihat pelan pembangunan sekolah baharu selepas merasmikan SJK (C) Ladang Grisek, Taman Kota Masai, Pasir Gudang. – Bernama