Sedia hadapi banjir di Sabah

KOTA KINABALU, 7 NOV – Seramai 1,000 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah sudah dikerah bersiap sedia menghadapi kemungkinan bencana banjir, berikutan ketibaan monsun timur laut bermula awal bulan ini sehingga Mac tahun depan.

Pengarah APM Sabah, Kolonel Kamal Mokhtar, berkata kesemua anggota berkenaan telah dikerahkan untuk bersiap sedia pada empat jam pertama di kawasan yang telah ditetapkan dan penugasan pada jam berikutnya adalah mengikut keperluan semasa bencana.

“Kesemua anggota APM yang bertugas adalah mereka yang berkemahiran dan sentiasa siap sedia dari segi fizikal dan mental. Mereka telah menjalani kursus yang mencukupi bagi menghadapi bencana,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

“Antara daerah yang berpotensi dilanda banjir kesan dari Monsun Timur Laut adalah di bahagian pantai barat Sabah iaitu Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, dan Kota Belud. Bagaimana pun sehingga kini belum ada laporan banjir berlaku di kawasan berkenaan,” katanya. – Bernama