Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jun – Negara Brunei Darussalam, pada masa ini, mengalami keadaan cuaca yang tidak menentu dan ia boleh mempengaruhi keadaan turunan hujan atau hujan berpetir yang mampu mendatangkan risiko berlakunya banjir kilat di kawasan rendah dan mudah banjir.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat melalui pemantauannya, mendapati beberapa batang jalan raya di kawasan Daerah Tutong telah terjejas oleh banjir kelmarin seperti Jalan Keranching, Jalan Benutan Kampung Benutan, Jalan Kuala Unggar/Rambai dan Jalan Bangkuru Mukim Rambai yang tidak boleh dilalui oleh kenderaan biasa atau salon.
Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam kenyataannya yang dikeluarkan baru-baru ini, menyatakan bahawa pihak bomba bersiap sedia 24 jam dan sentiasa membuat rondaan di darat mahupun di perairan dalam membuat pemantauan serta mengambil langkah yang berpatutan bagi sebarang kemungkinan perkara yang tidak diingini berlaku terutama di kawasan rendah dan yang dikenal pasti berisiko tinggi.
Dalam kenyataan itu lagi, Jabatan Bomba dan Penyelamat menekankan kepada orang ramai khususnya kepada penduduk setempat dan berdekatan untuk meningkatkan kewaspadaan dan keselamatan terhadap cuaca yang tidak menentu.
Mereka disarankan untuk sentiasa mengetahui mengenai maklumat keadaan cuaca dari semasa ke semasa, memantau keadaan paras air di kawasan dan persekitaran rumah, mengelak memandu kenderaan atau motosikal semasa cuaca buruk, jangan bermain di luar rumah terutama di kawasan yang terjejas teruk oleh banjir, mempunyai persediaan menghadapi banjir yang terus seperti menyimpan dokumen-dokumen penting, makanan, minuman dan bekalan pertolongan kecemasan.
Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat turut menyarankan bahawa sekiranya terperangkap di luar ketika keadaan cuaca buruk, mereka dinasihatkan untuk mencari tempat yang lebih selamat untuk berhenti.
Di samping itu, jika mendapati tanda-tanda awal tanah susur dan kilat sabung menyabung serta kuat yang berkemungkinan membahayakan nyawa, orang ramai dinasihatkan mengosongkan rumah mereka dan mencari tempat selamat untuk meletakkan kenderaan.
Di samping itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat turut menggalakkan orang ramai untuk memuat turun aplikasi mudah alih Safety Guide sebagai panduan asas kecemasan dan keselamatan awam yang disediakan oleh Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan.
Jika berlaku sebarang kecemasan, orang ramai dikehendaki untuk menghubungi talian kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat, 995 atau melalui Talian Darussalam 123 bagi sebarang aduan.