Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jan – Dalam usaha mempersiapkan diri bagi menempuhi zaman yang penuh mencabar pada masa ini, para belia atau siswa dan siswi di negara ini disarankan agar dapat merancang haluan kerja atau apa saja yang ingin dilakukan setelah tamat pengajian sejak awal lagi.
Walaupun sesuatu yang dirancang itu tidak semestinya dapat dicapai, para belia juga diseru agar lebih bersifat terbuka dan menerima sebarang ketentuan dengan lebih matang, tenang dan reda.
Misalnya dalam alam pekerjaan, meskipun mendapat pekerjaan lain daripada apa yang dipelajari semasa dalam pengajiannya, seseorang itu haruslah sentiasa bersedia untuk melakukan sesuatu yang baharu dan lebih mencabar kerana dengan cara itu pengalaman, pengetahuan seseorang itu akan bertambah dari semasa ke semasa.
Seruan ini dibuat oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad pada sesi dialog yang dihadiri oleh para peserta Program Perkampungan Sivik Lepasan Ijazah Negara Brunei Darussalam di Bilik Serbaguna Tarindak d’Seni di ibu negara, tengah hari tadi.
Beliau yang pada masa ini sedang melanjutkan pengajian di Universiti Brunei Darussalam dalam Sarjana Pengurusan turut menyarankan para graduan agar mengamalkan beberapa prinsip hidup yang dapat membantu menjalani kehidupan dengan lebih tenang dan baik.

Pertama, sentiasa memulakan hari dengan senyuman, yang mana beliau percaya bahawa dengan memulakan hari dengan senyuman dan gembira maka seluruh hari tersebut akan menjadi gembira dan tenang, begitu pula sebaliknya.
Kedua, sentiasa menghormati orang lain. Menurut beliau apabila melayan seseorang dengan baik dan hormat maka orang lain pun akan membuat perkara yang sama kepada diri.
Ketiga, tambah beliau, merendah diri seperti sifat padi semakin berisi semakin menunduk seberapa tinggi kedudukan dan kelayakan seseorang itu tidak seharusnya menjadikannya sombong malah cukup dengan berasa syukur atas segala yang telah dicapai.
Selain itu Yang Berhormat Awang Iswandy yang juga pernah bertugas sebagai pegawai belia dan sukan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan juga menasihatkan para belia untuk menjadi konsisten dalam setiap sesuatu yang dilakukan sama ada dalam pekerjaan, dalam memulakan perniagaan dan sebagainya untuk menjadi seorang yang berjaya dalam apa jua yang dilakukannya.