Sunday, June 4, 2023
24 C
Brunei

    -

    Sedia hadapi kesan El-Nino

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Cuaca panas melampau (EHW) atau biasa dikenali sebagai kejadian gelombang haba di Negara Brunei Darussalam cenderung berlaku semasa episod El-Nino.

    EHW berlaku apabila suhu maksimum harian merekodkan sekurang-kurangnya 35 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.

    Kejadian EHW terakhir yang berlaku di Negara Brunei Darussalam adalah semasa episod El-Nino pada 28 hingga 30 September 2019.

    Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, menyatakan bahawa dengan mengambil kira kemungkinan berlakunya El-Nino, jabatan berkenaan menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan keselamatan serta mematuhi mana-mana garis panduan daripada Kementerian Kesihatan berhubung keadaan cuaca panas.

    Terdahulu dalam kenyataan itu, BDMD menerangkan bahawa Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (WMO) telah mengumumkan bahawa kemungkinan El-Nino berkembang pada separuh kedua 2023 adalah semakin meningkat.

    Kebanyakan pusat iklim antarabangsa bersetuju bahawa terdapat kira-kira 60 peratus kemungkinan El-Nino berkembang pada Mei hingga Julai serta akan meningkat kepada kira-kira 70 hingga 80 peratus pada Jun hingga September.

    El-Nino ialah fenomena yang berlaku apabila suhu permukaan laut di kawasan tropika Lautan Pasifik menjadi lebih panas daripada biasanya. Ia juga dikenali sebagai ‘fasa panas’ kitaran El-Nino Southern Oscillation (ENSO) di mana fenomena itu berlaku setiap tiga hingga tujuh tahun secara purata, dan cenderung memuncak semasa musim sejuk hemisfera utara iaitu Disember hingga Februari.

    Semasa episod El-Nino, gangguan sementara terhadap corak cuaca tempatan dijangka berlaku di seluruh dunia, termasuk di Negara Brunei Darussalam.

    Kesan El-Nino kepada Brunei termasuk aktiviti hujan yang berkurangan dengan peningkatan suhu udara dan kelembapan relatif yang rendah. Keadaan cuaca kering dan panas dijangka berlaku dalam beberapa bulan yang akan datang dengan berkemungkinan peningkatan suhu maksima harian mencecah 34 darjah Celsius atau lebih pada waktu petang.

     

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Punca kemalangan kereta api India dikenal pasti

    NEW DELHI, 4 JUN - Menteri Kereta Api India berkata hari ini bahawa punca dan orang yang bertanggungjawab terhadap nahas kereta api yang paling...
    - Advertisment -