EL ROSARIO, Mexico, 23 Okt – Mexico hari ini bersiap sedia ketika ribut taufan Willa ‘yang amat berbahaya’ bakal melanda pantai Pasifik, yang dijangka berpotensi membawa angin kencang dan banjir.
Ribut taufan Kategori 4, menjadi lemah di mana sebelum ini mencapai Kategori 5, dalam laluan melanda Mexico di sekitar bandar pelabuhan Mazatlan tengah hari atau petang ini, menurut Pusat Ribut Taufan Kebangsaan (NHC) AS.
Willa kini membawa angin dengan kekuatan maksimum 250 kilometer sejam, menurut NHC dalam kemas kini terbaharunya.
Di sebalik melemah sedikit, “Willa dijangka menjadi ribut taufan besar berbahaya apabila ia sampai di pantai Mexico,” menurutnya lagi.
Willa dijangka membawa turunan hujan 15 hingga 30 sentimeter di beberapa bahagian negeri Sinaloa, Nayarit dan Jalis-co, dengan beberapa kawasan menerima turunan hujan sehingga 45 sentimeter.

“Turunan hujan ini akan mengakibatkan banjir kilat dan tanah runtuh yang mengancam nyawa,” NHC memberi amaran.
Menurut pusat itu, ribut besar melanda pantai juga ‘mungkin mengakibatkan keadaan luruan arus dan ombak’.
Ribut taufan berada kira-kira 175 kilometer barat-barat daya Cabo Corrientes, bergerak selatan pada kelajuan 13 kilometer sejam.
Awal hari ini ia bakal melintasi kepulauan Marias, yang di situ terletaknya penjara persekutuan Mexico.
Kementerian Dalam Negeri tidak segera memberi respons kepada soalan, sama ada ia merancang memindahkan tahanan-tahanan di penjara berkenaan atau tidak.
Sinaloa, Nayarit dan Jalisco mengisytiharkan keadaan berwaspada dan membatalkan persekolahan di seluruh negeri semalam apabila hujan dan ombak besar mula melanda. – AFP