Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Meskipun Pasukan bola jaring Brunei Darussalam tewas di tangan Thailand semalam, masih berpeluang untuk mara ke peringkat akhir apabila mereka layak ke peringkat separuh akhir dan akan menentang Malaysia esok di Stadium Juara Kompleks Sukan Negara Bukit Kiara, Malaysia.
Menurut jurulatih bola jaring Brunei Darussalam, Thilaka Jinadasa, sasaran utama adalah untuk mengekang pasukan tuan rumah daripada membolosi pertahan negara dengan mudah.
“Kami akan cuba menahan kemaraan tuan rumah esok dan cuba untuk memperbaiki kedudukan berbanding perlawanan sebelum ini apabila Brunei tewas 27-64 kepada mereka,” ujarnya.
Thilaka ketika dihubungi menegaskan apa yang penting buat masa ini adalah untuk terus memotivasikan pemain untuk terus bekerja keras kerana mereka sudah mara ke separuh akhir dan peluang masih ada untuk membuat kejutan.
“Kita akan mencuba beberapa set pemain esok dan saya percaya ia akan memberikan sedikit kelainan berbanding perlawanan tempoh hari dan saya rasa ia akan memberikan sedikit perbezaan supaya pasukan lawan tidak mudah membaca gerakan serangan dan pertahanan kita,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai kekalahan di tangan Thailand semalam, beliau menegaskan para pemain sudah mencuba untuk meneruskan momentum serangan dan pertahanan untuk mengawal kedudukan.
“Kami hilang cengkaman pada suku kedua dan ia menjadi punca kenapa kita tidak berupaya mengejar dan hanya melihat Thailand meninggalkan pasukan kita,” ujarnya.
Namun begitu menurutnya pada keseluruhannya ia adalah perlawanan yang sangat seimbang dan hanya kerana suku kedua itu jurang jaringan sangat besar dan ia menambah tekanan untuk menghantar bola kepada penjaring gol negara.
“Melihat kepada keadaan itu memaksa saya membuat pertukaran drastik pada babak ketiga dan ia sangat efektif dan sekali gus memberikan peluang kepada negara untuk terus menentang Thailand,” tambah Thilaka.
Beliau turut menyatakan kebimbangan akan kecederaan yang dialami empat pemain, namun ia tidak serius dan setakat ini pemain masih cergas untuk meneruskan cabaran.