Sedia terima idea pemain industri

KUALA LUMPUR, 15 SEPT – Kerajaan Malaysia bersedia menerima cadangan dan idea daripada pemain utama sektor perniagaan pengedaran di negara tersebut terutama yang membawa kepada perubahan dasar dan inisiatif, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, ini bagi membantu menyesuaikan perubahan terhadap trend dalam peruncitan dan kepenggunaan semasa terutamanya dengan perkembangan pantas e-dagang serta konsep stor terkini yang berubah daripada ciri tradisional dan konvensional.

Dr Wan Azizah memberi contoh IKEA telah merasmikan stor kecil pertama bersaiz 1,600 meter persegi di New York baru-baru ini dan bercadang untuk membuka 30 lagi stor kecil di kawasan bandar, Carrefour SA Perancis pula telah mengurangkan keluasan stor dan kos operasi bagi mengadaptasi trend e-dagang.

“Beberapa cadangan berkenaan pembaharuan yang telah dicadang daripada pemain industri termasuk menyemak semula format pusat pengedaran, keluasan lantai niaga dan waktu operasi perniagaan,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun AEON ke-35 di sini malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A Xavier Jayakumar.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan pasar raya asing telah menjana sebanyak 26,829 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan menyumbang sejumlah RM110,297,707.44 dari segi kutipan cukai negara pada 2018.

Malahan, sehingga suku pertama tahun ini, sektor perkhidmatan telah menyumbang 57 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar di mana sub sektor borong dan runcit merupakan penyumbang pertumbuhan utama dengan mencatatkan nilai jualan sebanyak RM 321.8 bilion serta mengupah lebih kurang 1.8 juta tenaga kerja secara keseluruhan. – Bernama