SIBU, 18 Julai – Segalanya siap sedia untuk berlangsungnya Festival Budaya Borneo (BCF) 2017, pada 20 hingga 29 Julai di Medan Bandar Sibu Fasa 1 di sini.
Festival itu yang merupakan sebahagian daripada aktiviti Tahun Lawat Sibu 2017 akan bermula dengan perarakan kira-kira 1,000 peserta pelbagai kaum dari beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kira-kira 5:30 petang 20 Julai.
Pengerusi BCF 2017, Rogayah Jamain berkata, perarakan itu akan diketuai Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, yang kemudian akan merasmikan festival itu.
“Perarakan itu akan melalui Kampung Nyabor Road, Island Road, Channel Road, Workshop Road, Central Road, Morshidi Sidek Road dan Blacksmith Road,” kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semua jalan berkenaan akan ditutup kepada lalu lintas bermula 5:15 petang.
Selain pentas utama, tiga pentas lain telah didirikan untuk menampilkan kepelbagaian budaya masyarakat Melayu/Melanau, Dayak dan China.
Beberapa gerai akan menjual pelbagai juadah tiga masyarakat berkenaan.
Sementara itu, Sibu Tradex 2017 akan juga diadakan di Medan Bandar Sibu Fasa II, pada tarikh yang sama, memaparkan pelbagai produk perusahaan kecil dan sederhana; jentera ringan dan berat; bank; syarikat telekom, barang runcit, makanan dan minuman serta kraf tangan. – Bernama