Seekor lagi harimau Sumatera disyaki kena racun

BANDA ACEH, INDONESIA, 29 JUN – Seekor lagi harimau Sumatera telah ditemui mati dalam kejadian kedua haiwan terancam berkenaan disyaki diracun dalam masa kurang daripada seminggu, pegawai pemuliharaan Indonesia berkata, hari ini.

Pihak berkuasa berkata, dalam kedua-dua kes, penduduk tempatan berkemungkinan menyasarkan harimau-harimau tersebut kerana menyerang ternakan mereka, menekankan konflik meningkat antara manusia dan binatang di kepulauan Asia Tenggara berkenaan.

Hari ini, agensi pemuliharaan di Aceh Selatan, Sumatera menyatakan bahawa bangkai seekor harimau betina ditemui dekat sebuah ladang.

“Tiada sebarang perangkap atau luka fizikal ditemui dan kami syak ia diracun,” kata ketua agensi, Hadi Sofyan dengan menambah bahawa autopsi sedang dijalankan.

Minggu lalu, bangkai seekor harimau jantan yang ditanam telah ditemui di taman negara Batang Gadis, Sumatera Utara dengan punca kematiannya dipercayai diracun.

Penduduk kampung, termasuk seorang ketua kampung, berkata bahawa pembunuhan itu dilakukan oleh petani-petani yang marah kerana harimau tersebut telah membunuh ternakan mereka, seorang jurucakap taman berkata pada masa itu. – AFP

Pegawai-pegawai pemuliharaan membawa bangkai seekor harimau yang ditemui di sebuah ladang kampung di Trumon, Aceh Selatan, kelmarin. – AFP