Segera bayar cukai tanah

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JUN – Pemilik-pemilik tanah bergeran di negara ini dinasihatkan untuk menjelaskan cukai tahunan tanah-tanah mereka setiap tahun dan tunggakan jika ada dalam tempoh yang diberikan.

Jika gagal berbuat demikian, maka Jabatan Tanah, Kementerian Pembangunan boleh mengambil tindakan undang-undang di bawah Bab 18 Kanun Tanah Penggal 40 di mana pihak kerajaan berhak untuk merampas dan menjual mana-mana harta alih (movable property) yang ada di atas tanah mereka dan juga berhak untuk menjual dan mengambil balik tanah mereka.

Menurut kenyataan dari jabatan itu lagi, semua pemilik tanah di negara ini diminta untuk membayar cukai tahunan tanah dan tunggakan cukai tahunan tanah mereka di mana-mana kaunter pembayaran pejabat tanah seluruh daerah pada waktu pembayaran yang telah ditetapkan

dengan tidak mengikut lokasi tanah mereka ataupun pembayaran melalui atas talian (online payment) dengan menggunakan kad kredit atau kad debit pada bila-bila masa sahaja di laman sesawang Jabatan Tanah iaitu www.laris.gov.bn (LARIS).

Bagi waktu pembayaran cukai tanah di kaunter pembayaran Pejabat Tanah Daerah Brunei dan Muara setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu bermula 8 hingga 11 pagi dan 1:45 hingga 3 petang. Manakala itu, tiga daerah lain dibuka pada waktu sama kecuali Sabtu 8 hingga 11 pagi dan 1:45 hingga 2:45 petang.

Manakala pejabat tanah bagi semua daerah akan ditutup pada hari Jumaat, Ahad dan hari kelepasan awam.