Friday, April 26, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Segera hulur bantuan makanan untuk kanak-kanak

    COLOMBO, 1 OGOS – Sri Lanka hari ini merayu bantuan segera bagi menangani masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak yang berleluasa ketika krisis ekonominya mengakibatkan sembilan daripada 10 orang bergantung kepada sumbangan kerajaan.

    Kementerian Hal Ehwal Wanita dan Kanak-kanak Sri Lanka mengatakan mereka sedang mengusahakan sumbangan peribadi bagi memberi makan beberapa ratus kanak-kanak yang semakin susut badannya kerana kekurangan makanan.

    Negara muflis itu yang dicengkam krisis ekonomi terburuk sejak kemerdekaan, tidak dapat mengekalkan bantuan kebajikannya.

    “Semasa pandemik COVID pada kemuncaknya, masalah ini tidaklah teruk, namun sekarang dengan krisis ekonomi, keadaannya lebih teruk,” setiausaha Neil Bandara Hapuhinne memberitahu wartawan di Colombo.

    Hapuhinne mengatakan mereka telah mengira 127,000 orang kanak-kanak menghadapi malnutrisi daripada kalangan 570,000 kanak-kanak perempuan dan lelaki berusia bawah lima tahun pada pertengahan 2021.

    Sejak itu, dia menganggarkan jumlah itu semakin meningkat dengan impak menyeluruh inflasi dan kekurangan teruk makanan serta barangan keperluan lainnya.

    Menurutnya, jumlah orang yang menerima bantuan kebajikan langsung daripada kerajaan hampir dua kali ganda berbanding tahun lalu, dengan 90 peratus populasi sekarang bergantung kepada bantuan kewangan kerajaan.

    Tabung Darurat Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) turut membuat rayuan serupa bagi pembiayaan membantu kanak-kanak di Sri Lanka yang terjejas teruk akibat krisis ekonomi. – AP

    Penarik beca kelihatan menyorong becanya berhampiran pemidang yang bertulis hanya kenderaan dengan kod QR akan diberikan minyak di sebuah stesen minyak di Colombo, Sri Lanka, 1 Ogos. Krisis ekonomi bukan sahaja menjejaskan bekalan minyak negara itu, malahan kanak-kanak turut menghadapi malnutrisi. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...