Segera naik taraf versi terkini WhatsApp

SAN FRANCISCO, 14 Mei – Kecacatan keselamatan pada salah satu aplikasi komunikasi paling popular di dunia, WhatsApp, telah membolehkan penyerang canggih memasang perisian intip (spyware) pada telefon bimbit, kata syarikat itu hari ini dalam masalah terbaharu untuk syarikat induknya Facebook.

Kerentanan pertama itu dilaporkan oleh Financial Times (FT) dan diperbaiki dalam kemas kini WhatsApp, membolehkan penggodam untuk memasukkan perisian berniat jahat pada telefon dengan membuat panggilan kepada sasaran menggunakan aplikasi yang digunakan oleh 1.5 bilion orang di seluruh dunia.

FT memetik seorang peniaga perisian intip sebagai berkata alat itu dibangunkan oleh sebuah firma berpusat di Israel dikenali sebagai NSO Group yang dituduh membantu kerajaan-kerajaan dari Timur Tengah hingga ke Mexico untuk mengintip aktivis dan wartawan.

Para penyelidik keselamatan berkata kod berniat jahat itu mempunyai persamaan dengan teknologi lain yang dibangunkan oleh firma itu, menurut The New York Times.

Eksploitasi terkini yang memberi kesan kepada peranti Android dan iPhone Apple itu dan yang lain telah ditemui awal bulan ini dan WhatsApp sedaya upaya memperbaikinya sehingga menjuruskan kemas kini dalam masa kurang daripada 10 hari.

Gambar fail yang diambil pada 22 Mac 2018 menunjukkan aplikasi WhatsApp pada telefon pintar yang mana pengguna aplikasi tersebut digalakkan untuk mengemaskini kepada versi terkini dengan segera. – AFP

“WhatsApp menggalakkan pengguna untuk menaik taraf kepada versi terkini serta mengemaskinikan sistem pengoperasian mudah alih untuk melindungi daripada potensi eksploitasi yang disasarkan untuk mengkompromikan maklumat yang disimpan pada peranti mudah alih,” kata jurucakap dalam satu kenyataan kepada AFP.

Firma itu tidak mengulas mengenai bilangan pengguna yang terjejas atau siapa yang menyasarkan mereka tetapi mengatakan ia telah melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa AS.

Insiden itu adalah pelanggaran terbaharu dalam isu-isu bersiri yang mengganggu syarikat induk Facebook yang menghadapi kritikan sengit kerana membiarkan data penggunanya digunakan oleh syarikat penyelidikan dan respons lewatnya berhubung penggunaan platform itu oleh Rusia sebagai cara untuk menyebarkan maklumat palsu semasa kempen pilihan raya AS 2016.

Perisian intip WhatsApp itu sofistikated dan ‘hanya boleh diperolehi oleh pelakunya yang benar-benar bermotivasi’, kata syarikat itu menambah bahawa ‘beberapa pengguna telah disasarkan’.

‘Serangan itu mempunyai semua ciri-ciri syarikat swasta yang bekerja dengan beberapa kerajaan di seluruh dunia’ menurut siasatan awal, tambahnya, namun tidak menamakan firma tersebut. – AFP