Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Segera rangka pemulihan ekonomi

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Walaupun Negara Brunei Darussalam masih lagi di bawah ancaman COVID, namun strategi pemulihan ekonomi yang mewajarkan negara dapat kembali kepada keadaan sedia kala perlu dilakarkan.

    Pemulihan ekonomi ini adalah perlu mengambil kira Wawasan Brunei 2035 yang semakin hampir dan negara mesti segera menggerakkan matlamatnya ter-masuk menitikberatkan pembangunan ekonomi.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perlunya usaha menggerakkan pemulihan ekonomi itu semasa berkenan mengurniakan titah sempena Sambutan Hari Keputeraan Baginda ke-76 tahun di Istana Nurul Iman hari ini.

    Baginda turut bersyukur langkah kerajaan mempelbagaikan ekonomi negara sudah pun mula menampakkan hasil, di mana sejak lima tahun kebelakangan ini, sektor bukan minyak dan gas berkembang secara purata pada kadar 4 peratus setahun. Contohnya, sektor hiliran, salah satu sektor utama ekonomi menunjukkan peningkatan signifikan dengan nilai keluaran dalam negara kasar (KDNK) daripada $200 juta tahun 2019 kepada $1.6 bilion pada 2021.

    Sementara itu, nilai eksport bagi sektor bukan minyak secara keseluruhan pada 2021 berjumlah $7.8 bilion meningkat melebihi nilai eksport sektor minyak dan gas yang berjumlah $6.4 bilion.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah sempena Sambutan Hari Keputeraan Baginda ke-76 tahun di Istana Nurul Iman. Berangkat sama ialah KDYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Sehubungan itu, bagi 2022, beberapa agensi antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), ASEAN+3 Macroeconomic Research Office (AMRO) dan Bank Pembangunan Asia (ADB), masing-masing telah menjangkakan bahawa ekonomi Negara Brunei Darussalam berkembang pada kadar 1.8 peratus, 4.1 peratus dan 4.2 peratus.

    Jangkaan positif ini mengambil kira potensi pertumbuhan bagi beberapa sektor perekonomian di negara ini termasuk sektor makanan, baja dan kimia, tekan Baginda.

    Baginda turut memuji beberapa pelaburan asing (FDI) di negara ini yang telah pun memulakan operasinya di sini sehinggakan mereka mampu menjana peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan seperti Syarikat Brunei Fertilizer Industry Sdn Bhd yang telah menghasilkan eksport urea sejak bulan Februari 2022.

    Sehubungan itu, Baginda berharap FDI ini juga akan memberi peluang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) manakala PMKS diusahakan anak-anak tempatan diseru agar tidak ketinggalan meraih peluang itu.

    Ketika menyentuh mengenai Skim Persaraan Kebangsaan (SPK), Baginda mengongsi bahawa kajian Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan kerjasama Lembaga Tabung Amanah Pekerja (TAP terhadap Skim TAP telah membolehkan penggantian kepada sistem lama dan SPK yang baharu telah pun dikongsikan strukturnya oleh TAP.

    Manakala mengenai jaminan keselamatan makanan yang ketegangan geopolitik dan gangguan rantaian perbekalan telah menjejaskan bekalan makanan dunia, sepatutnya memberi petunjuk bahawa negara tidak boleh selamanya bergantung pada bekalan dari luar sahaja.

    Ini kerana data telah menunjukkan dari tahun 2019, sektor pemakanan negara berkembang secara purata 11.4 peratus dan dari sudut eksport dari tahun 2021, nilai yang direkodkan adalah sebanyak $52 juta berbanding hanya $8 juta pada lima tahun lalu, titah Baginda.

    Bagi hubungan antarabangsa, kerjasama dan hubungan pelbagai hala dijalin dengan rakan serantau dan rakan dialog akan terus dipelihara dan dikembangmajukan.

    “Ini penting untuk mencapai sasaran dan menikmati keamanan serta keselamatan bersama,” titah Baginda.

    Terdahulu, Baginda mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang menghantar perutusan ucap selamat kepada Baginda dan kerabat sempena sambutan Hari Keputeraan Baginda ke-76 tahun.

    Baginda turut merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, warga perkhidmatan awam, pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta termasuk mereka yang bertugas di luar negara atas sumbangan dan sokongan kepada kerajaan.

    Baginda juga tidak lupa mengucapkan setinggi penghargaan kepada seluruh jawatankuasa perayaan di peringkat kebangsaan dan peringkat daerah atas segala usaha dan khidmat yang dihulurkan bagi menjayakan perayaan ini.

    “Semoga Allah memberkati kita dan mengurniakan Negara Brunei Darussalam keamanan dan keselamatan,” titah Baginda.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...