Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Segerakan penggubalan CCA, kawal selia BNPL

    KUALA LUMPUR – Tertarik dengan tawaran ‘bayaran ansuran tanpa faedah’ yang disediakan oleh sebuah pasaran dalam talian ‘Beli Sekarang Bayar Kemudian’ (BNPL), membuatkan Ahmad yang menghadapi kekangan kewangan, memanfaatkannya tanpa berfikir panjang.

    Menganggap kaedah itu sebagai yang terbaik untuk dia mendapatkan barangan keperluan rumah tangga yang didirikannya pada 2020, pereka grafik berusia 24 tahun tersebut ‘memborong’ sebuah mesin basuh yang dilengkapi sistem pengering berharga RM3,000 dan peti sejuk berharga RM1,800 pada tahun lepas.

    “Semasa survei harga dengan isteri melalui satu aplikasi e-dagang, ada jumpa barang yang dimahukan, tetapi biasalah tempoh penghantaran barang memakan masa lama.

    “Jadi, saya cuba lagi survei sehinggalah terjumpa satu iklan di Instagram mengenai BNPL dan  apa yang menjadikan kami tertarik adalah ayat yang digunakan, ‘bayaran ansuran tanpa faedah’, membuatkan kami terus membeli barang tersebut tanpa berfikir panjang,” kongsinya kepada Bernama.
     
    Perbelanjaan luar jangka
    Pada awalnya, pasangan itu yang mempunyai pendapatan isi rumah RM5,000 sebulan, tidak mempunyai masalah membayar ansuran bulanan peti sejuk dan mesin basuh, masing-masing sebanyak RM450 dan RM250.

    Timbalan Presiden FOMCA Mohd Yusof Abdul Rahman. – Bernama
    Selain pasangan muda, BNPL juga berpotensi disalah guna oleh golongan shopaholic untuk memenuhi kehendak mereka walaupun kewangan tidak mengizinkan.
    BNPL juga dilihat menjadi pilihan pasangan muda yang baharu berkahwin, terutama selepas pandemik, bagi mendapatkan kelengkapan rumah.

    Malah, bayaran peti sejuk telahpun dilunaskan pada September tahun lepas. Namun, komitmen kewangan pasangan itu bertambah susulan kelahiran anak sulung mereka pada Februari lalu.

    Masih terikat bayaran ansuran peti sejuk, Ahmad mengakui dia kini berasa terbeban disebabkan ada perbelanjaan luar jangka membabitkan si kecil yang kerap sakit.

    Ujarnya, sekalipun jumlah RM250 itu tidak sebesar mana, peningkatan perbelanjaan keluarga, khususnya melibatkan anak, menyebabkan beban bayaran ansuran tersebut amat dirasai, lebih-lebih lagi komitmen tersebut adalah selama 12 bulan.

    Bagi menampung keperluan kewangan, Ahmad berkata dia kini turut melakukan kerja sampingan sebagai penunggang e-hailing.

    Namun pada masa sama, dia tidak menolak kemungkinan akan terus memanfaatkan BNPL pada masa akan datang sekiranya ada keperluan yang mendesak.
     
    Segera gubal akta  
    Bagi Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA),  situasi yang dialami Ahmad itu tidak boleh dipandang ringan, dan mereka mahu pihak berwajib menyegerakan penggubalan Akta Kredit Pengguna (CCA) yang akan turut merangkumi BNPL. 

    Penggubalan CCA yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada suku kedua 2023, adalah tepat pada masanya demi menjamin kestabilan kewangan pengguna.

    Mengulas mengenainya, Timbalan Presiden FOMCA  Mohd Yusof Abdul Rahman berkata disebabkan BNPL masih belum dikawal selia oleh pihak berkuasa, sistem itu terdedah kepada manipulasi kadar faedah oleh penyedia perkhidmatan.  

    BNPL membolehkan pelanggan membuat bayaran secara ansuran tanpa faedah, bagaimanapun, terdapat caj lain yang boleh dikenakan kepada pelanggan seperti fi pemprosesan dan fi pembayaran lewat. 

    Dalam sesetengah kes, jumlah caj yang dikenakan oleh penyedia BNPL kepada pelanggan mungkin lebih tinggi berbanding jumlah faedah dan caj yang dikenakan oleh pemberi pinjaman konvensional.

    “Bank Negara Malaysia (BNM) perlu mempercepat penggubalan CCA supaya kesemua akta berkaitan sistem pembiayaan kewangan seperti akta kredit, akta sewa beli dan akta peminjam wang dapat dikawal selia. 

    “Buat masa ini, mereka yang terlibat dalam akta sewa beli ini sahaja dikawal selia oleh bank tetapi bagi skim-skim lain seperti BNPL yang ditawarkan kepada pengguna, tidak dikawal selia oleh mana-mana akta,” katanya.
     
    BNPL pilih pasangan muda
    Lebih membimbangkan, BNPL tidak mengenakan syarat ketat, sekali gus membolehkan sesiapa sahaja berhutang tanpa had.

    Katanya, BNPL juga dilihat menjadi pilihan pasangan muda yang baharu berkahwin, terutama selepas pandemik, bagi mendapatkan kelengkapan rumah seperti televisyen, mesin basuh dan peti sejuk.

    “Golongan muda atau keluarga muda menggunakan BNPL disebabkan mereka baru bekerja dan pendapatan tidak mencukupi untuk membeli barang-barang keperluan seperti perkakas elektrik, telefon bimbit, sofa dan meja makan.

    “Yang dibimbangi ialah jika pengguna  gagal menguruskan kewangan dengan baik, ada kemungkinan mereka akan dikenakan denda atau barangan tersebut ditarik balik,” kata Mohd Yusof. 
     
    BNPL sasar shopaholic? 
    Selain pasangan muda, BNPL juga berpotensi disalah guna oleh golongan shopaholic untuk memenuhi kehendak mereka walaupun kewangan tidak mengizinkan, sekali gus meningkatkan risiko mereka terjerat dalam hutang yang banyak.

    Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata skim BNPL sememangnya mampu mempengaruhi shopaholic memandangkan golongan berkenaan mempunyai keinginan  untuk berbelanja yang tinggi.

    “BNPL merupakan antara cara pemasaran yang digunakan penjual bagi meningkatkan jualan kerana  mereka akan menggunakan 1,001 cara  bagi mempengaruhi pembeli terutamanya shopaholic.

    “Ini kerana strategi pemasaran tersebut secara tidak langsung meningkatkan keinginan shopaholic untuk membeli walaupun kewangan dan kredit mereka ada masalah,” katanya kepada Bernama.

    Ujar beliau, lebih parah lagi strategi bayaran ansuran tanpa faedah yang ditawarkan BNPL boleh meningkatkan kecenderungan golongan yang ‘ketagih’ membeli-belah itu berbelanja sewenang-wenangnya.

    “Yang kita bimbangkan ialah golongan ini bukan membeli barangan keperluan sebaliknya lebih kepada kehendak disebabkan ingin mengikut trend dan tidak mahu dilabelkan sebagai ketinggalan.

    “Disebabkan itu, setiap kali produk baharu dikeluarkan, mereka sanggup beratur 24 jam dan sebagainya hanya semata-mata untuk mendapatkan barangan diingini walaupun bukan satu keperluan,” katanya.
     
    Kuasai literasi kewangan
    Sementara itu, Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Mohamad Fazli Sabri berkata tidak salah untuk seseorang memanfaatkan BNPL asalkan mereka dilengkapi pengetahuan dan pengurusan kewangan yang baik.

    “Tak salah menggunakan BNPL tetapi jangan terlampau seronok sehingga kita berbelanja besar membeli barang kehendak berbanding keperluan,” katanya.

    Beliau menyandarkan pandangannya pada kaji selidik BNM pada 2020 yang mendapati 75 peratus penduduk di negara ini tidak mempunyai simpanan kecemasan berjumlah sekurang-kurangnya RM1,000.

    Menurutnya, golongan muda, khususnya yang baru berkahwin, perlu berwaspada ketika berbelanja, apatah lagi jika menggunakan kaedah BNPL kerana mereka adalah golongan berisiko yang terikat dengan pelbagai komitmen kewangan seperti pinjaman perumahan, kenderaan, anak dan lain-lain. 

    ”Bagi mereka yang gemar berbelanja, sebaiknya elak melawat laman sesawang atau media sosial yang berisiko menjerat emosi serta nafsu untuk menambah hutang,” nasihat beliau. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...