KUCHING, 13 SEPT – Persembahan teater muzikal ‘Segulai Sejalai’ merupakan antara pengisian sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan di Stadium Perpaduan di sini, pada Sabtu.
Pengarah teater muzikal itu Tini Tyrani Adurahman berkata, persembahan yang dibahagi kepada tiga segmen itu akan menampilkan perjalanan sejarah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak dalam usaha menuntut kemerdekaan sehingga kini.
Beliau berkata seramai 150 kru termasuk penari, penyanyi, pelakon serta pesilat terlibat dalam persembahan itu nanti.
“Segmen pertama akan menampilkan persembahan penentangan terhadap Malayan Union, gagasan pembentukan Persekutuan Malaysia pada segmen kedua dan semangat Malaysia MADANI pada segmen ketiga.
“Persembahan ini juga akan menampilkan watak-watak pejuang kemerdekaan negara seperti Rosli Dhobi dan Mat Salleh,” katanya kepada Bernama.
Persembahan berdurasi 15 hingga 20 minit itu turut menampilkan pelakon tempatan seperti Anding Indrawani dan Azam Pitt.
Bertemakan ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’, sambutan Hari Malaysia kali ini dijadualkan bermula dengan acara prapersembahan pada 7 malam sebelum acara rasmi pada 8:30 malam. – Bernama
