Sunday, August 14, 2022
25.2 C
Brunei

Sejajarkan kurikulum Usuluddin dengan MIB

-

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MEI – Seminar Multaqa Usuluddin anjuran Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Fakulti Usuluddin dengan kerjasama Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan menutup tirainya pada majlis penutup yang diisikan dengan sesi forum me-ngenai kurikulum Usuluddin, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Raes KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar.

Sesi forum tersebut disampaikan oleh ahli panel iaitu Profesor Madya Dr Mohd Zazhiri bin Awang Mat dari Fakulti Pendidikan; Pemangku Penolong Pengarah (Profesional) Jabatan Pengajian Islam, Pengiran Abdul Razak bin Pengiran Haji Metahir selaku wakil Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Haji Ruzaidi bin Haji Mohd Daud dari Jabatan Peperiksaan selaku wakil Kementerian Pendidikan.

Hadir selaku moderator ialah Penolong Pensyarah KUPU SB, Dr Haji Mohammad Shahrol Azmi bin Haji Muluk.

Sesi kedua majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Asmaul Husna dan nyanyian lagu kebangsaan.

Forum berkenaan membincangkan mengenai kurikulum Usuluddin yang perlu dilihat kesesuaiannya dengan perkembangan semasa dan pengaplikasiannya oleh para pelajar bukan sahaja dalam kelas tetapi dalam kehidupan seharian. Ia juga perlu diselaraskan dengan Negara Zikir Melayu Islam Beraja (MIB).

Perkara tersebut membawa kepada kesimpulan bahawa perlunya pihak-pihak seperti Kementerian Pendidikan, KHEU dan institusi-institusi pendidikan dan pihak berkepentingan lainnya untuk bekerjasama dalam menggubal kurikulum Usuluddin agar relevan untuk masa kini selain menyediakan buku-buku teks khusus sebagai bahan rujukan.

Terdahulu, wakil pengerusi seminar Multaqa Usuluddin, Dr Norashimah binti Haji Omar semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya yang menyatakan bahawa Fakulti Usuluddin, KUPU SB mengambil berat akan isu-isu pendidikan semasa, khususnya yang berkaitan dengan pendidikan Islam dalam bidang usuluddin dan komited untuk membantu dalam menyelesaikan isu-isu atau permasalahan tersebut.

Antara yang hadir pada majlis penutup bagi Seminar Multaqa Usuluddin anjuran KUPU SB melalui Fakulti Usuluddin dengan kerjasama Jabatan Peperiksaan, Kementerian Pendidikan.
- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Dua beradik bersatu semula selepas 75 tahun

BHATINDA, INDIA, 12 OGOS – Air mata kegembiraan membasahi pipi seorang pekerja buruh India yang akhirnya bertemu abang tersayang dari Pakistan buat pertama kalinya...
- Advertisment -