Sejarah: guru sepanjang masa

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Sebagai rakyat dan penduduk negara ini, amat perlu untuk mengetahui dan mempelajari sejarah bangsa dan negara.

“Oleh itu, sejarah itu perlu didedah dan disebarluaskan kepada masyarakat terutamanya generasi muda dan belia, supaya ia dapat dijadikan pengajaran, rujukan dan tamsil atau ibarat dalam kehidupan, kerana sejarah itu bukan hanya berperanan sebagai suluh kehidupan, tetapi ia juga adalah guru kehidupan sepanjang zaman.”

Perkara itu ditekankan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa melancarkan Buku Tarsilah Brunei: Wasilah Ketakhtaan Kesultanan Brunei (1659-1828 Masihi), jilid III tulisan Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Profesor Kehormat (Dr)Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri, di Dewan Jawatan Dalam, Pusat Sejarah Brunei, hari ini.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam ucapannya melahirkan hasrat agar buku berkenaan akan dijadikan sebagai bahan rujukan penting kepada pelajar-pelajar muda melalui institusi-institusi pendidikan dan koleksi-koleksi simpanan keseluruhan perpustakaan supaya ia akan sentiasa dihidupkan dan dikekalkan.

Beliau seterusnya menegaskan, bidang penyelidikan dan penulisan sejarah terutama mengenai sejarah Brunei, merupakan pekerjaan yang sukar terutama dalam menyusun sejarah susur galur dan sejarah sultan-sultan Brunei yang mana penulis dan penyelidikan amat kekurangan data dan bahan-bahan rujukan.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika melancarkan buku berkenaan.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan ketika menyampaikan buku ihsan kepada Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Profesor Kehormat (Dr) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri.

Beliau melahirkan kepercayaan, inti pati yang tersurat dan tersirat dalam buku Tarsilah Brunei: Wasilah Ketakhtaan Kesultanan Brunei ini, akan dapat melambahkan jendela pemikiran dan perspektif dalam memperkaya dan menyemarakkan cinta kasih kepada raja, agama dan negara untuk terus mantap dan kukuh.

“Usaha gigih dan berkarih Yang Berhormat Pehin yang lutanan ini amat dihargai dan disanjungi sebagai role model dan diikuti oleh semua,” tambahnya.

Katanya lagi, idea-idea yang segar dan bernas serta ingatan yang masih utuh untuk terus menulis sejarah Brunei demi anak bangsanya mengenal latar belakang jati diri bangsa sendiri adalah sesuatu yang sangat istimewa bagi rakyat Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Pehin juga merupakan seorang ikon yang dapat dijadikan sumber inspirasi untuk dicontohi dalam mengharungi apa jua cabaran dalam menanai gagasan dan wawasan negara ke arah pembangunan negara dan bangsa.

Beliau seterusnya mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Pehin kerana usaha yang tidak pernah mengenal jemu untuk terus menulis dan mengongsikan sejarah kepada kalangan rakyat di negara ini seterusnya memperkenalkan di peringkat antarabangsa hingga berjaya menyusun dan membentangkan susunan persejarahan kesultanan Brunei tahun 1659 hingga 1828 Masihi.

Sejurus pelancaran buku itu, Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan seterusnya menyampaikan buku ihsan kepada penulis, Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Profesor Kehormat (Dr) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri.

Kemudian, resensi buku disampaikan oleh Pensyarah Program Sejarah dan Antarabangsa Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam, Dr Hajah Asiyah Az-Zahra binti Haji Ahmad Kumpoh.