Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman
SEBAHAGIAN daripada masyarakat kita ada yang masih belum mengetahui tentang sejarah awal Kampong Ayer yang mana sudah wujud sejak lebih dari 500 tahun dahulu.
Menurut cerita asal penduduk (warga emas) Kampong Ayer, ia mula wujud di hulu Sungai Brunei. Penulis masih ingat ketika penulis menemu bual dan bercerita bersama mereka – ketika mereka masih hidup dan sihat – untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kisah dan sejarah lama di sana.
Mereka terdiri daripada penduduk Kampung Pengiran Bendahara Lama, Kampung Pengiran Kerma Indera Lama, Kampung Pengiran Tajudin Hitam dan juga Kampung Tamoi.
Antara yang menceritakan kepada penulis pada masa itu ialah Allahyarham Pengiran Anak Ahmad bin Pengiran Sabtu Kemaluddin, Pengiran Anak Matasan bin Pengiran Sabtu Kemaludin, Pengiran Anak Abdul Wahab bin Pengiran Sabtu Kemaludin, Awang Bakar bin Kasim dan Awang Mat Zain bin Kader.
Nama-nama kampung hulu sekitar 500 tahun dahulu ialah Kampung Lumadan, Kampung Tumasek, Kampung Istana Bandong Kayangan dan Kampung Sungai Damuan.



Sementara kampung-kampung yang berada di penghujung hulu Sungai Brunei ialah Kampung Pengkalan Batu, Kampung Limau Manis, Kampung Batong, Kampung Junjungan dan perairan Kampung Luba.
Keluarga penulis telah tinggal di Kampung Tumasek pada awal tahun 1950. Manakala pada tahun 1954, keluarga penulis telah berpindah ke Istana Bandong Kayangan, mengisi kekosongan istana bersejarah itu. Kawasan sekelilingnya pada masa itu masih dipenuhi hutan belukar.
Pada zaman dahulu, apabila air sungai surut atau cetek, penulis bersama keluarga dan rakan-rakan akan dapat melihat bekas tiang dan tunggul rumah lama di hulu Sungai Brunei, Kuala Sungai Tumasek dan Lumadan. Sementara itu, penulis bersama yang lainnya juga akan menjumpai artifak lama seperti pecahan pinggan mangkuk, pasu dan juga duit syiling.
Kini, kesan-kesan peninggalan itu sudah tidak dapat di-kesan lagi oleh sebab ditimbusi tanah susur dan terbiar.






















