Thursday, February 20, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sejarah Maktab Perguruan Melayu Brunei

    Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman

     

    PADA zaman persekolahan tahun 1965, murid-murid pada ketika itu hanya menamatkan pembelajaran mereka sehingga Darjah 6 sahaja.

    Hanya murid-murid yang mencapai keputusan yang tinggi dan cemerlang akan diambil untuk menjawat sebagai guru pelatih atau guru sementara di sekolah-sekolah rendah kerajaan. Mata pelajaran yang diajarkan perlulah mendapat arahan daripada Pejabat Pelajaran dan nazir sekolah, kemudian dicalonkan mengajar ke sekolah-sekolah yang berada di Daerah Brunei dan Muara, berdekatan dengan Bandar Brunei.

    Sementara itu, guru-guru pelatih yang mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan, mereka dibenarkan untuk memohon bagi memasuki Maktab Perguruan Melayu Brunei. Tidak semua akan diterima masuk kerana pengambilan bagi guru-guru pelatih adalah terhad pada ketika itu. Hanya guru-guru yang mendapat kepujian atau mendapat markah yang tinggi sahaja akan diterima masuk. Pada tahun 1965, seramai 32 orang guru lelaki dan perempuan telah diterima masuk. Mereka akan menuntut di maktab tersebut selama tiga tahun. Maktab perguruan berkenaan terletak di Berakas, yang kini adalah Sekolah Menengah Berakas.

    Manakala guru-guru yang sudah berkhidmat dengan pihak kerajaan pada masa itu, akan ditugaskan untuk mengajar di sekolah-sekolah rendah sekitar Bandar Brunei.

    Selain mengajar mata pelajaran harian, guru-guru yang berkelulusan dalam bidang sukan akan memimpin para pelajar untuk bersukan.

    Guru-guru baharu yang memasuki Maktab Perguruan Melayu Brunei pada tahun 1966.
    Guru-guru lelaki dan perempuan yang tamat menuntut di Maktab Perguruan Melayu Brunei pada tahun 1965.
    Suasana pertunjukan pakaian beragam guru-guru Maktab Perguruan Melayu Brunei bertempat di Padang Besar, Bandar Brunei pada tahun 1965.
    Murid-murid bersama guru mereka yang menjuarai kejohanan bola sepak Sekolah Melayu Sultan Muhammad Jamalul Alam (SMJA) pada tahun 1965.

    Antara sukan yang digemari oleh murid-murid pada ketika itu ialah bola sepak, badminton, sepak takraw dan larian.

    Guru-guru yang pernah mengajar dalam tahun 1965, kini tergolong dalam golongan warga emas.

    Penulis sekali-sekala berjumpa dengan mereka sama ada semasa menghadiri majlis perkahwinan mahupun menghubungi mereka melalui telefon.

    Semoga mereka berada dalam keadaan sifat walafiat, Aamiin Ya Rabbal ‘Alamin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda